Utama Blog Halaman 20

LZS BANTU KAKITANGAN SYARIKAT UTUSAN MELAYU YANG LAYAK

0

SHAH ALAM, 24 Oktober 2019 – Kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang terkesan akibat penutupan operasi Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, boleh memohon mendapatkan bantuan zakat melalui penolong amil kariah (PAK) yang dilantik oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) di kariah masing-masing atau mengunjungi mana-mana cawangan LZS yang berhampiran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, “Pemohon (kakitangan Utusan Melayu) boleh mendapatkan maklumat berkaitan jenis bantuan dan borang permohonan bantuan zakat sama ada melalui PAK atau cawangan LZS. Proses permohonan sama seperti permohonan pemohon lain dan ia tertakluk kepada syarat umum kelayakan zakat serta haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan).”

Antara syarat umum yang ditetapkan ialah pemohon terdiri daripada warganegara Malaysia yang beragama Islam, lahir dan menetap di Selangor atau bermastautin dan masih menetap di Selangor tidak kurang dari tiga tahun.

Untuk makluman berikutan penutupan operasi Utusan Melayu, LZS menerima nama kakitangan secara berperingkat dari pelbagai sumber. Sehingga 17 Oktober, sebanyak 233 nama kakitangan telah diterima dan LZS sedang meneliti senarai nama tersebut bagi pengesahan maklumat serta memastikan ia memenuhi syarat umum kelayakan agihan zakat.

LZS akan menjalankan siasatan dan bancian ke rumah berdasarkan kepada haddul kifayah sebelum mereka yang layak didaftarkan sebagai asnaf sementara di LZS. Bantuan zakat disalurkan bergantung kepada keperluan sesebuah keluarga sehingga kehidupan mereka stabil.

MAKLUM BALAS LZS BERKAITAN LAPORAN MEDIA BERHUBUNG SIASATAN SPRM TERHADAP DUA PEGAWAI KANAN SYARIKAT MEDIA

0

SHAH ALAM, 14 Oktober 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) amat menitikberatkan integriti semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi memastikan wang zakat yang diamanahkan diurus dengan baik. Ini penting bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawab kepada LZS sentiasa terpelihara dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat tidak terjejas.

Merujuk kepada laporan di media massa berkaitan dua pegawai kanan syarikat media direman berhubung penyelewengan tuntutan dana zakat, LZS menyerahkan kes tersebut kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Untuk makluman, LZS sentiasa berkongsi informasi berkaitan aktiviti pengurusan zakat di Selangor melalui pelbagai medium termasuk media massa. Ini termasuklah menerbitkan program televisyen bagi bertujuan meningkatkan kesedaran berzakat dalam kalangan masyarakat. Pelaksanaan penerbitan program televisyen tersebut diuruskan oleh perunding pengiklanan profesional yang dilantik oleh LZS mengikut prosedur yang ditetapkan, skop dan harga kontrak yang dipersetujui menggunakan dana pengurusan amil. Berdasarkan kontrak, LZS memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada perunding pengiklanan untuk berurusan terus dengan syarikat media dalam pelaksanaan skop kontrak dan pembayaran.

Dalam usaha LZS membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa, LZS telah mengamalkan polisi agar mana-mana pembekal atau individu melaporkan sebarang cubaan atau salah laku rasuah kepada SPRM jika melibatkan kakitangan atau mana-mana pihak ketiga. LZS tidak teragak-agak untuk membuat aduan kepada SPRM jika aduan salah laku rasuah diterima oleh LZS sendiri.

Berhubung kes tersebut, LZS akan terus memberi kerjasama sepenuhnya dengan SPRM dan pihak berkuasa bagi memastikan kepentingan wang zakat sentiasa terpelihara.

 

KENYATAAN OLEH

SAIPOLYAZAN MAT YUSOP

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

 

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN TNB DAN QSR BRANDS RM7.8 JUTA

0

SHAH ALAM, 27 September 2019 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada dua syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM7,763,798.88 yang diserahkan dalam satu upacara di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Tenaga Nasional Berhad diwakili Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) Negeri Selangor, Datuk Ir. Md. Yuslan Md. Yusof menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2017 dan 2018 berjumlah RM5,402,317.88, diikuti QSR Brands (M) Holdings Berhad yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dato’ Seri Azahari Mohamed Kamil dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2018 sebanyak RM2,361,481.00.

Upacara penyerahan zakat turut dihadiri Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

ZIKRA 2019: RAPAT HUBUNGAN PENGELUAR DAN PENERIMA ZAKAT

0

SEPANG, 24 September 2019 – Seramai 60 orang peserta terdiri daripada pengeluar zakat syarikat korporat, wakil majikan yang membuat potongan gaji dan media menyertai Program Ziarah Korporat & Media Bersama Asnaf (ZIKRA) 2019 anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Program tahunan ini membawa pengeluar zakat merasai pengalaman turun padang di lapangan bagi melihat realiti kehidupan para asnaf di daerah Sepang yang disantuni dengan wang zakat. Ia bertujuan mendedahkan aktiviti agihan secara langsung kepada peserta, di samping mendapatkan maklum balas secara terus terhadap keberkesanan agihan zakat yang dilaksanakan di Selangor.

Dengan tagline ‘Jalinan Kasih’, ZIKRA menyemai sikap prihatin pengeluar zakat terhadap golongan asnaf di Selangor, selain mengeratkan hubungan antara pengeluar zakat dengan asnaf.

Pada penyertaan ZIKRA 2019 kali ini, para peserta dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rawang. Sekolah ini adalah di antara 213 sekolah yang terlibat dalam Program Sekolah Angkat Zakat Selangor (PROSAZ). Ia merupakan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Selangor (JPS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang memfokuskan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama, iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Para peserta seterusnya dibawa ke Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, di mana mereka berpeluang mendekati dan beramah mesra dengan penduduk. Di sini terdapat seramai 105 keluarga Islam dalam kalangan Orang Asli yang disantuni dengan bantuan zakat. Dalam majlis yang sama, LZS menyampaikan bantuan agihan zakat kepada beberapa individu dan institusi berjumlah RM82,261.40.

Turut menyampaikan sumbangan ialah syarikat korporat terlibat dalam program ZIKRA kali yang memberi sumbangan melalui Kasihku Zakat Selangor dalam pelbagai bentuk bantuan bukan sahaja untuk penduduk di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, malah kepada pelajar PROSAZ di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rawang.

Pada destinasi terakhir di Masjid KLIA, para peserta bertemu dengan salah sebuah syarikat korporat di LZS iaitu Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). MAHB merupakan syarikat korporat yang konsisten menunaikan zakat perniagaan dan juga potongan zakat bulanan untuk kakitangannya.

Terdahulu, para peserta menyaksikan demo yang dilakukan oleh usahawan asnaf di bawah projek usahawan berkelompok yang diperkenalkan oleh Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) iaitu Mybidan, Mytabib Malaya dan Blue Fabric. Mereka ini terdiri daripada asnaf fakir dan miskin yang menerima bantuan perniagaan dari LZS dan dibimbing serta dipantau oleh TERAS bagi memastikan perniagaan berkelompok yang dilaksanakan berjaya. Menariknya ada di antara usahawan asnaf ini, kini telah menjadi pengeluar zakat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

 

 

 

LZS SERAH BANTUAN PERALATAN PERIKANAN BERJUMLAH RM738,000

0

KUALA LANGAT, 19 September 2019 – Seramai 246 nelayan asnaf fakir dan miskin menerima manfaat zakat apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan berupa peralatan perikanan termasuk alat bantu navigasi dan jaring ikan berjumlah RM738,000.

Bantuan zakat ini melibatkan asnaf nelayan di lima daerah iaitu Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Sepang dan Klang dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Selangor. Setiap asnaf tersebut menerima bantuan zakat berjumlah RM3,000 seorang.

Untuk makluman, bantuan tersebut adalah di bawah Program Pembangunan Ekonomi yang disalurkan kepada asnaf yang menjalankan perniagaan termasuk perikanan. Melalui bantuan zakat yang disantuni, merka berpotensi untuk keluar daripada kategori asnaf di samping dapat meningkatkan taraf pendapatan keluarga.

Terdahulu, LZS menyerahkan bantuan peralatan perikanan kepada 26 orang nelayan asnaf fakir dan miskin daerah Kuala Langat dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di sini. Majlis penyerahan ini disempurnakan oleh Ketua Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid.  Ia merupakan bantuan bagi fasa dua yang disalurkan oleh LZS kepada nelayan asnaf fakir dan miskin daerah Kuala Langat.

Turut hadir sama Pengarah LKIM Negeri Selangor, Norazian Safian.

PUBLIC ISLAMIC BANK TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN

0

SHAH ALAM, 25 September 2019 – Public Islamic Bank Berhad (PIBB) menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM35,000 bagi tahun kewangan berakhir 2018 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini.

Cek zakat perniagaan tersebut diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PIBB, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan bin Mat Yusop.

LZS SERAH SUMBANGAN E-BRAILLE AL-QURAN 

0

SHAH ALAM, 10 September 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan sumbangan dua unit e-Braille al-Quran kepada dua buah institusi dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di sini.

Penyerahan ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop kepada dua orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan iaitu Ustaz Ahmad Qusairi Mat Azizi mewakili Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Wan Nur Iman Wan Mohd Shukri yang mewakili Maahad Lil Aytam (MLA).

E-Braille al-Quran adalah projek yang dibangunkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi membantu umat Islam cacat penglihatan memahami dan menghayati al-Quran dengan cekap, mudah dan efektif. Ia merangkumi modul bacaan dan pembelajaran yang terdiri daripada bahan bacaan al-Quran dan Iqra.

Selain itu, paparan pada e-braille memudahkan golongan cacat penglihatan menyemak bacaan kerana ia berfungsi sama seperti papan kekunci komputer. Oleh itu mereka tidak perlu menghafal indeks sebaliknya hanya perlu ke menu papan utama bagi membuat carian pilihan surah.

Untuk makluman, LZS turut menyalurkan sumbangan RM50,000 bagi membiayai sebahagian kos pembangunan projek e-Braille al-Quran ini. Sumbangan adalah di bawah asnaf fisabilillah.

Sebelum ini, LZS pernah menyerahkan sumbangan empat unit al-Quran braille kepada empat individu cacat penglihatan daripada Persatuan Braille Malaysia.

 

PENDIRIAN LZS BERKENAAN SALAH LAKU MELIBATKAN INTEGRITI

0

SHAH ALAM, 5 September 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) amat menitikberatkan integriti semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam kalangan warga kerjanya demi memastikan wang zakat yang diamanahkan diurus dengan baik.

Sehubungan itu, LZS amat memandang serius sebarang salah laku yang membabitkan integriti dalam kalangan warga kerja dan tanpa kompromi akan mengambil tindakan tatatertib serta undang-undang. Ini penting bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawab kepada LZS sentiasa terpelihara dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat tidak terjejas.

Merujuk kepada kes di media massa berkaitan salah laku bekas warga kerja LZS, untuk makluman ia merupakan kes terpencil dan kes tersebut kini dalam tindakan mahkamah.

Sehingga kini, pelbagai kawalan dalaman dan luaran dilaksanakan bagi memastikan integriti dan kredibiliti LZS terpelihara melalui pelbagai siri pengauditan antaranya Firma Audit Antarabangsa, Audit Negara, Audit SIRIM, Audit Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Audit Dalaman LZS dan sebagainya.

LZS LANCAR FPX E-MAJIKAN: MUDAHKAN URUSAN BAYARAN ZAKAT

0

SHAH ALAM, 29 Ogos 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan mekanisme pembayaran zakat mudah dan pantas khusus untuk majikan yang menyertai Skim Potongan Gaji (SPG) melalui kemudahan FPX E-Majikan di platform yang disediakan.

Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop di hadapan 350 wakil majikan SPG sempena Majlis Mesra Majikan 2019 di sini hari ini.

Melalui kemudahan FPX E-Majikan ini, majikan yang terdiri daripada syarikat swasta dan badan berkanun di Selangor boleh terus membuat pembayaran zakat bulanan bagi kakitangan syarikat menggunakan sistem E-Majikan.

Sistem E-Majikan merupakan kemudahan atas talian yang membolehkan majikan membuat taksiran zakat dan penghantaran data potongan gaji untuk kakitangan, selain melihat rekod bayaran lepas, mencetak slip bayaran zakat dan mengemas kini maklumat syarikat. Majikan terbabit boleh menggunakan sistem ini dengan mendaftar di portal rasmi LZS www.zakatselangor.com.my/e-majikan.

Bermula pada tahun 2019, LZS telah membuat penambahbaikan ke atas sistem E-Majikan berkenaan dengan menambah fungsi FPX. Ia membolehkan majikan terus membuat bayaran dengan memilih bank pembayaran bagi potongan zakat serta memasukkan data pencarum melalui sistem yang disediakan.

Untuk makluman, sehingga kini terdapat 4,200 majikan yang menyertai SPG di LZS dan daripada jumlah tersebut sebanyak 2,100 majikan berdaftar di sistem E-Majikan. Namun begitu, hanya 1,300 syarikat sahaja yang konsisten menggunakan sistem E-Majikan bagi urusan potongan zakat bulanan kakitangan syarikat.

Justeru itu dengan pelancaran FPX E-Majikan ini, LZS mensasarkan seramai 1,500 majikan akan menggunakan sistem E-Majikan seterusnya membuat pembayaran zakat melalui kemudahan yang diperkenalkan.

Dalam pada itu, sebanyak 350 majikan yang mewakili pelbagai syarikat swasta, badan berkanun dan sektor kerajaan diraikan dalam Majlis Mesra Majikan 2019. Majlis berkenaan bertujuan meraikan para majikan yang telah menyertai SPG bagi zakat pendapatan kakitangan di Selangor. Ia juga sebagai platform komunikasi antara LZS dengan pihak majikan khususnya dalam penambahbaikan pengurusan potongan zakat bulanan, di samping menyebarkan maklumat terkini berkaitan pengurusan zakat terutamanya agihan zakat di Selangor.

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Sarbini.

PKNS SUMBANG WAKALAH AGIHAN BAIK PULIH RUMAH ASNAF KUALA LANGAT

0

KUALA LANGAT, 25 Ogos 2019 – Seramai 16 keluarga asnaf fakir dan miskin Lembaga Zakat Selangor (LZS) di daerah Kuala Langat hari ini menerima manfaat daripada sumbangan wakalah agihan wang zakat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (LZS) berjumlah RM400,000 bagi baik pulih rumah mereka.

Ia melibatkan kos baik pulih bagi setiap rumah asnaf di antara RM20,000 ke RM30,000 bergantung kepada kerosakan yang perlu dibaiki.

Simbolik penyerahan sumbangan wakalah tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Azizi Mohd Zain kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop semasa Majlis Perasmian Program Gotong-Royong Baik Pulih Rumah Daerah Kuala Langat.

Untuk makluman, wakalah agihan zakat merupakan inisiatif yang diperkenalkan LZS bagi memberi peluang dan ruang kepada pengeluar zakat untuk turut serta dalam pengagihan zakat.

Berita Terkini