SHAH ALAM, 24 Oktober 2019 – Kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang terkesan akibat penutupan operasi Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, boleh memohon mendapatkan bantuan zakat melalui penolong amil kariah (PAK) yang dilantik oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) di kariah masing-masing atau mengunjungi mana-mana cawangan LZS yang berhampiran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, “Pemohon (kakitangan Utusan Melayu) boleh mendapatkan maklumat berkaitan jenis bantuan dan borang permohonan bantuan zakat sama ada melalui PAK atau cawangan LZS. Proses permohonan sama seperti permohonan pemohon lain dan ia tertakluk kepada syarat umum kelayakan zakat serta haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan).”

Antara syarat umum yang ditetapkan ialah pemohon terdiri daripada warganegara Malaysia yang beragama Islam, lahir dan menetap di Selangor atau bermastautin dan masih menetap di Selangor tidak kurang dari tiga tahun.

Untuk makluman berikutan penutupan operasi Utusan Melayu, LZS menerima nama kakitangan secara berperingkat dari pelbagai sumber. Sehingga 17 Oktober, sebanyak 233 nama kakitangan telah diterima dan LZS sedang meneliti senarai nama tersebut bagi pengesahan maklumat serta memastikan ia memenuhi syarat umum kelayakan agihan zakat.

LZS akan menjalankan siasatan dan bancian ke rumah berdasarkan kepada haddul kifayah sebelum mereka yang layak didaftarkan sebagai asnaf sementara di LZS. Bantuan zakat disalurkan bergantung kepada keperluan sesebuah keluarga sehingga kehidupan mereka stabil.