SHAH ALAM, 5 September 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) amat menitikberatkan integriti semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam kalangan warga kerjanya demi memastikan wang zakat yang diamanahkan diurus dengan baik.

Sehubungan itu, LZS amat memandang serius sebarang salah laku yang membabitkan integriti dalam kalangan warga kerja dan tanpa kompromi akan mengambil tindakan tatatertib serta undang-undang. Ini penting bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawab kepada LZS sentiasa terpelihara dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat tidak terjejas.

Merujuk kepada kes di media massa berkaitan salah laku bekas warga kerja LZS, untuk makluman ia merupakan kes terpencil dan kes tersebut kini dalam tindakan mahkamah.

Sehingga kini, pelbagai kawalan dalaman dan luaran dilaksanakan bagi memastikan integriti dan kredibiliti LZS terpelihara melalui pelbagai siri pengauditan antaranya Firma Audit Antarabangsa, Audit Negara, Audit SIRIM, Audit Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Audit Dalaman LZS dan sebagainya.