SHAH ALAM, 27 September 2019 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada dua syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM7,763,798.88 yang diserahkan dalam satu upacara di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Tenaga Nasional Berhad diwakili Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) Negeri Selangor, Datuk Ir. Md. Yuslan Md. Yusof menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2017 dan 2018 berjumlah RM5,402,317.88, diikuti QSR Brands (M) Holdings Berhad yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dato’ Seri Azahari Mohamed Kamil dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2018 sebanyak RM2,361,481.00.

Upacara penyerahan zakat turut dihadiri Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.