SHAH ALAM, 29 Ogos 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan mekanisme pembayaran zakat mudah dan pantas khusus untuk majikan yang menyertai Skim Potongan Gaji (SPG) melalui kemudahan FPX E-Majikan di platform yang disediakan.

Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop di hadapan 350 wakil majikan SPG sempena Majlis Mesra Majikan 2019 di sini hari ini.

Melalui kemudahan FPX E-Majikan ini, majikan yang terdiri daripada syarikat swasta dan badan berkanun di Selangor boleh terus membuat pembayaran zakat bulanan bagi kakitangan syarikat menggunakan sistem E-Majikan.

Sistem E-Majikan merupakan kemudahan atas talian yang membolehkan majikan membuat taksiran zakat dan penghantaran data potongan gaji untuk kakitangan, selain melihat rekod bayaran lepas, mencetak slip bayaran zakat dan mengemas kini maklumat syarikat. Majikan terbabit boleh menggunakan sistem ini dengan mendaftar di portal rasmi LZS www.zakatselangor.com.my/e-majikan.

Bermula pada tahun 2019, LZS telah membuat penambahbaikan ke atas sistem E-Majikan berkenaan dengan menambah fungsi FPX. Ia membolehkan majikan terus membuat bayaran dengan memilih bank pembayaran bagi potongan zakat serta memasukkan data pencarum melalui sistem yang disediakan.

Untuk makluman, sehingga kini terdapat 4,200 majikan yang menyertai SPG di LZS dan daripada jumlah tersebut sebanyak 2,100 majikan berdaftar di sistem E-Majikan. Namun begitu, hanya 1,300 syarikat sahaja yang konsisten menggunakan sistem E-Majikan bagi urusan potongan zakat bulanan kakitangan syarikat.

Justeru itu dengan pelancaran FPX E-Majikan ini, LZS mensasarkan seramai 1,500 majikan akan menggunakan sistem E-Majikan seterusnya membuat pembayaran zakat melalui kemudahan yang diperkenalkan.

Dalam pada itu, sebanyak 350 majikan yang mewakili pelbagai syarikat swasta, badan berkanun dan sektor kerajaan diraikan dalam Majlis Mesra Majikan 2019. Majlis berkenaan bertujuan meraikan para majikan yang telah menyertai SPG bagi zakat pendapatan kakitangan di Selangor. Ia juga sebagai platform komunikasi antara LZS dengan pihak majikan khususnya dalam penambahbaikan pengurusan potongan zakat bulanan, di samping menyebarkan maklumat terkini berkaitan pengurusan zakat terutamanya agihan zakat di Selangor.

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Sarbini.