SHAH ALAM, 14 Oktober 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) amat menitikberatkan integriti semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi memastikan wang zakat yang diamanahkan diurus dengan baik. Ini penting bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawab kepada LZS sentiasa terpelihara dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat tidak terjejas.

Merujuk kepada laporan di media massa berkaitan dua pegawai kanan syarikat media direman berhubung penyelewengan tuntutan dana zakat, LZS menyerahkan kes tersebut kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Untuk makluman, LZS sentiasa berkongsi informasi berkaitan aktiviti pengurusan zakat di Selangor melalui pelbagai medium termasuk media massa. Ini termasuklah menerbitkan program televisyen bagi bertujuan meningkatkan kesedaran berzakat dalam kalangan masyarakat. Pelaksanaan penerbitan program televisyen tersebut diuruskan oleh perunding pengiklanan profesional yang dilantik oleh LZS mengikut prosedur yang ditetapkan, skop dan harga kontrak yang dipersetujui menggunakan dana pengurusan amil. Berdasarkan kontrak, LZS memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada perunding pengiklanan untuk berurusan terus dengan syarikat media dalam pelaksanaan skop kontrak dan pembayaran.

Dalam usaha LZS membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa, LZS telah mengamalkan polisi agar mana-mana pembekal atau individu melaporkan sebarang cubaan atau salah laku rasuah kepada SPRM jika melibatkan kakitangan atau mana-mana pihak ketiga. LZS tidak teragak-agak untuk membuat aduan kepada SPRM jika aduan salah laku rasuah diterima oleh LZS sendiri.

Berhubung kes tersebut, LZS akan terus memberi kerjasama sepenuhnya dengan SPRM dan pihak berkuasa bagi memastikan kepentingan wang zakat sentiasa terpelihara.

 

KENYATAAN OLEH

SAIPOLYAZAN MAT YUSOP

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF