SHAH ALAM, 10 September 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan sumbangan dua unit e-Braille al-Quran kepada dua buah institusi dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di sini.

Penyerahan ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop kepada dua orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan iaitu Ustaz Ahmad Qusairi Mat Azizi mewakili Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Wan Nur Iman Wan Mohd Shukri yang mewakili Maahad Lil Aytam (MLA).

E-Braille al-Quran adalah projek yang dibangunkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi membantu umat Islam cacat penglihatan memahami dan menghayati al-Quran dengan cekap, mudah dan efektif. Ia merangkumi modul bacaan dan pembelajaran yang terdiri daripada bahan bacaan al-Quran dan Iqra.

Selain itu, paparan pada e-braille memudahkan golongan cacat penglihatan menyemak bacaan kerana ia berfungsi sama seperti papan kekunci komputer. Oleh itu mereka tidak perlu menghafal indeks sebaliknya hanya perlu ke menu papan utama bagi membuat carian pilihan surah.

Untuk makluman, LZS turut menyalurkan sumbangan RM50,000 bagi membiayai sebahagian kos pembangunan projek e-Braille al-Quran ini. Sumbangan adalah di bawah asnaf fisabilillah.

Sebelum ini, LZS pernah menyerahkan sumbangan empat unit al-Quran braille kepada empat individu cacat penglihatan daripada Persatuan Braille Malaysia.