SEPANG, 24 September 2019 – Seramai 60 orang peserta terdiri daripada pengeluar zakat syarikat korporat, wakil majikan yang membuat potongan gaji dan media menyertai Program Ziarah Korporat & Media Bersama Asnaf (ZIKRA) 2019 anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Program tahunan ini membawa pengeluar zakat merasai pengalaman turun padang di lapangan bagi melihat realiti kehidupan para asnaf di daerah Sepang yang disantuni dengan wang zakat. Ia bertujuan mendedahkan aktiviti agihan secara langsung kepada peserta, di samping mendapatkan maklum balas secara terus terhadap keberkesanan agihan zakat yang dilaksanakan di Selangor.

Dengan tagline ‘Jalinan Kasih’, ZIKRA menyemai sikap prihatin pengeluar zakat terhadap golongan asnaf di Selangor, selain mengeratkan hubungan antara pengeluar zakat dengan asnaf.

Pada penyertaan ZIKRA 2019 kali ini, para peserta dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rawang. Sekolah ini adalah di antara 213 sekolah yang terlibat dalam Program Sekolah Angkat Zakat Selangor (PROSAZ). Ia merupakan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Selangor (JPS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang memfokuskan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama, iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Para peserta seterusnya dibawa ke Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, di mana mereka berpeluang mendekati dan beramah mesra dengan penduduk. Di sini terdapat seramai 105 keluarga Islam dalam kalangan Orang Asli yang disantuni dengan bantuan zakat. Dalam majlis yang sama, LZS menyampaikan bantuan agihan zakat kepada beberapa individu dan institusi berjumlah RM82,261.40.

Turut menyampaikan sumbangan ialah syarikat korporat terlibat dalam program ZIKRA kali yang memberi sumbangan melalui Kasihku Zakat Selangor dalam pelbagai bentuk bantuan bukan sahaja untuk penduduk di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, malah kepada pelajar PROSAZ di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rawang.

Pada destinasi terakhir di Masjid KLIA, para peserta bertemu dengan salah sebuah syarikat korporat di LZS iaitu Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). MAHB merupakan syarikat korporat yang konsisten menunaikan zakat perniagaan dan juga potongan zakat bulanan untuk kakitangannya.

Terdahulu, para peserta menyaksikan demo yang dilakukan oleh usahawan asnaf di bawah projek usahawan berkelompok yang diperkenalkan oleh Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) iaitu Mybidan, Mytabib Malaya dan Blue Fabric. Mereka ini terdiri daripada asnaf fakir dan miskin yang menerima bantuan perniagaan dari LZS dan dibimbing serta dipantau oleh TERAS bagi memastikan perniagaan berkelompok yang dilaksanakan berjaya. Menariknya ada di antara usahawan asnaf ini, kini telah menjadi pengeluar zakat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.