Utama Blog Halaman 16

E-DIALISIS LZS MUDAHKAN URUSAN PESAKIT ASNAF

0

SHAH ALAM, 21 Julai 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan sistem e-Dialisis LZS bagi memudahkan pengurusan pesakit asnaf yang mendapat rawatan dialisis di panel pusat dialisis yang berdaftar dengan LZS secara atas talian.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Profesor Emeritus Dato’ Paduka Dr. Mohamad Awang hari ini di hadapan 60 wakil panel pusat dialisis LZS di sini.

Sistem ini diperkenalkan menggantikan kaedah manual yang dipraktikkan dalam proses tuntutan bayaran rawatan pesakit, dengan tempoh masa dapat dikurangkan dari 14 hari bekerja kepada satu hari sahaja. Melalui penggunaan sistem tersebut, dokumen berkaitan pembayaran rawatan dialisis dan pengurusan rekod pesakit asnaf dapat diakses dalam satu platform elektronik dengan lebih mudah dan pantas.

Di samping dapat menjimatkan masa, ia membantu memudahkan dan mempercepatkan proses kerja dalaman sekaligus dapat meningkatkan produktiviti dan efisiensi penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan LZS terutama asnaf dalam persekitaran norma baharu.

Untuk makluman, sistem e-Dialisis LZS ini merupakan antara insiatif digitalisasi yang dibangunkan bertujuan menambah baik proses operasi LZS. Ia bagi membudayakan transformasi digital dalam pengurusan kerja dengan penggunaan teknologi seiring dengan perkembangan revolusi industri 4.0. LZS sedang meneruskan langkah untuk memperkenalkan beberapa lagi inisiatif digitalisasi bagi mempermudahkan urusan masyarakat awam dengan LZS.

Dalam majlis ini, LZS turut menyampaikan tablet yang dilengkapi dengan sistem e-Dialisis kepada 120 panel pusat dialisis LZS untuk kegunaan mereka. Ia turut mempunyai aplikasi pemantauan rekod pesakit asnaf termasuk menyemak status terkini akaun bantuan rawatan dialisis yang diterima secara real time atau waktu sebenar. Selain itu, asnaf yang menerima bantuan ini dapat mengetahui baki semasa akaun bantuan mereka dan berapa jumlah tuntutan yang dipohon oleh pusat dialisis kepada LZS.

Untuk rekod sehingga Jun 2020, LZS telah menyantuni seramai 2,498 pesakit asnaf dalam kalangan fakir, miskin, mualaf dan gharimin. Dianggarkan pada setiap bulan jumlah pertambahan pesakit asnaf yang menerima bantuan di LZS di antara 30 hingga 40 orang pesakit. Pada tahun ini, LZS memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM60 juta untuk membiayai rawatan dialysis pesakit asnaf.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

 

LZS INSTITUSI ZAKAT PERTAMA DI MALAYSIA LANCAR E-AGREEMENT

0

SHAH ALAM, 17 Julai 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjadi institusi zakat pertama di Malaysia yang mengendalikan proses dokumentasi perjanjian secara atas talian dengan melancarkan sistem e-Agreement LZS dalam satu majlis yang diadakan di sini hari ini.

Ia bagi menggantikan kaedah manual yang dipraktikkan dalam penyediaan dokumen perjanjian di LZS, dengan tempoh masa dapat dikurangkan kepada tiga hari bekerja berbanding sebelum ini.

Melalui penggunaan sistem ini, proses penyediaan surat pelantikan dan perjanjian boleh dilaksanakan dalam satu platform elektronik yang merangkumi keseluruhan rangka proses yang diperlukan iaitu pendigitalan dokumen perjanjian, tandatangan secara digital dan juga penyeteman dokumen perjanjian.

Di samping dapat menjimatkan masa, sistem tersebut membantu memudahkan dan mempercepatkan proses kerja dalaman sekaligus dapat meningkatkan produktiviti dan efisiensi penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan LZS terutama asnaf serta pengeluar zakat dalam persekitaran norma baharu.

Untuk makluman, sistem e-Agreement LZS yang mendapat kerjasama dari syarikat Zanko Sdn Bhd dan Raffcomm Group ini merupakan antara insiatif digitalisasi yang dibangunkan bertujuan menambah baik proses operasi LZS.

Ia bagi membudayakan transformasi digital dalam pengurusan kerja dengan penggunaan teknologi seiring dengan perkembangan revolusi industri 4.0. LZS sedang meneruskan langkah untuk memperkenalkan beberapa lagi inisiatif digitalisasi bagi mempermudahkan urusan masyarakat awam dengan LZS.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dr. Abdul Rahman Abdullah, Pengarah Eksekutif Zanko Sdn. Bhd., Sallehuddin Ishak, Ketua Pegawai Teknikal Zanko Sdn Bhd, Encik Hairi Mohd Suan dan Ketua Pegawai Eksekutif Raffcomm Sdn. Bhd. Arief Adly Afendi. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

 

LZS LANTIK EJEN KUTIPAN SEDIA KEMUDAHAN BAYAR ZAKAT QWIKPAY 

0

SHAH ALAM, 7 Julai 2020 – Syarikat Serba Dinamik IT Solutions Sdn Bhd (SDIT) dilantik sebagai ejen kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi menyediakan kemudahan saluran bayaran zakat secara dalam talian menggunakan aplikasi QwikPay dalam satu majlis yang diadakan di sini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, LZS sentiasa mencari solusi bagi memudahkan umat Islam di Malaysia memenuhi tuntutan agama secara mudah, ringkas dan berinovasi lebih-lebih lagi dalam suasana norma baharu susulan pandemik COVID-19. 

“Oleh itu, LZS giat menyediakan saluran pembayaran zakat secara dalam talian yang lebih selamat dan risiko rendah. Ia secara tidak langsung bertujuan menggalakkan lebih ramai masyarakat Islam terutama di Selangor menunaikan zakat melalui platform digital, sejajar dengan hasrat untuk mendorong pembayaran zakat tanpa tunai di negeri ini.”

Tambahnya, menerusi aplikasi QwikPay pengeluar zakat boleh menunaikan zakat harta dan zakat fitrah tanpa had kepada LZS pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Turut hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan (SDIT), Dato Dr. Ir. Ts. Mohd. Abdul Karim Abdullah dan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

LZS SANTUNI PASANGAN WARGA EMAS

0

SHAH ALAM, 10 Jun 2020 – Kisah pakcik Mohd Lazim Ismail, 74 tahun dan isterinya Fatimah Mat Rani, 64 tahun yang menghuni rumah usang di dalam Estet Sungai Remok, Jalan Genting, Batang Kali, Hulu Selangor seperti tersiar di Buletin Utama, TV3 mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS)

Hasil siasatan mendapati pasangan ini merupakan asnaf yang telah disantuni oleh LZS sejak 2016. Antara bantuan yang diterima termasuklah bantuan kewangan bulanan, makanan bulanan dan Hari Raya.

Untuk makluman, rumah yang didiami oleh pasangan ini terletak di atas tanah milik perseorangan dan mereka hanya menumpang di tanah tersebut. Melihat keadaan rumah tersebut, pihak LZS telah beberapa kali menawarkan bantuan untuk memindahkan pasangan itu ke rumah yang lebih baik, namun mereka menolak dan lebih selesa menetap di situ.

Pasangan ini tidak mempunyai pendapatan yang tetap. Mereka hanya membuat kerja-kerja kampung untuk mendapat sumber pendapatan seperti memelihara ayam, bercucuk tanam dan menjualnya kepada jiran-jiran.

Meskipun tinggal berdua, LZS dengan kerjasama Penolong Amil Kariah sentiasa memantau kebajikan mereka dari semasa ke semasa.

 

19 CAWANGAN LZS BEROPERASI SEPANJANG TEMPOH PKPB

0

SHAH ALAM, 4 Jun 2020 – Sebanyak 19 Cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mendapat kebenaran untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 1 Jun 2020 bagi memudahkan umat Islam di Selangor melaksanakan urusan kutipan dan agihan zakat.

Cawangan yang terlibat ialah Presint ALAMi, Shah Alam; Seksyen 14, Petaling Jaya; Bandar Baru Bangi; Ampang; Taman Melawati; Masjid Mujahideen, Damansara; Subang Jaya; Kompleks MAIS, Klang; Kuala Selangor; Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya; Sungai Besar; Banting dan Kuala Kubu Bharu.

Cawangan lain termasuklah Bandar Baru Ampang; Kompleks MAIS, Klang; Banting; Puchong; Bandar Baru Salak Tinggi; Masjid Negeri Shah Alam; Kota Damansara; Cheras dan Bandar Baru Selayang.

Waktu urusan bermula 9.00 pagi sehingga 3 petang hari Isnin sehingga Jumaat. Manakala bagi Sabtu, Ahad dan cuti umum cawangan ditutup.

Bagaimanapun operasi cawangan ini terikat dengan Prosedur Pencegahan Wabak COVID-19 LZS yang dibangunkan berdasarkan panduan dan rujukan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain daripada menunaikan zakat di cawangan LZS, orang ramai boleh membuat pembayaran zakat secara atas talian (online) melalui https://fpx.zakatselangor.com.my/.

Sementara bagi semakan status permohonan bantuan dan cetakan penyata bayaran zakat, layari https://ezo.zakatselangor.com.my/.

COVID-19: LZS SUMBANG 2,000 SET KELENGKAPAN PPE BANTU PETUGAS BARISAN HADAPAN

0

SHAH ALAM, 20 Mei 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan sumbangan 2,000 set kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor yang disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi kepada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Indera Dr. Sha’ari Ngadiman dalam satu majlis yang diadakan di sini.

Set kelengkapan PPE ini terdiri perisai muka, sarung tangan, pakaian khas dan sarung penutup kasut telah dihasilkan dengan kerjasama kakitangan dan pelajar Management and Science University (MSU) bagi membantu petugas barisan hadapan meneruskan tugas menangani COVID-19.

Untuk makluman, sumbangan set PPE adalah sebahagian daripada Bantuan Khas COVID-19 yang diumumkan LZS pada Mac lepas, bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan wabak COVID-19.

Melalui Bantuan Khas COVID-19, LZS telah menyalurkan sumbangan tiga buah mesin ventilator dan kelengkapan perubatan lain kepada hospital dan institut perubatan sekitar Selangor.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

13 CAWANGAN LZS BEROPERASI SEPANJANG TEMPOH PKP

0

SHAH ALAM, 12 Mei 2020 – Sebanyak 13 Cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) beroperasi 7 hari seminggu termasuk pada cuti umum, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memudahkan umat Islam di Selangor melaksanakan urusan kutipan dan agihan zakat.

Cawangan yang terlibat ialah Presint ALAMi, Shah Alam; Seksyen 14, Petaling Jaya; Bandar Baru Bangi; Ampang; Taman Melawati; Masjid Mujahideen, Damansara; Subang Jaya; Kompleks MAIS, Klang; Kuala Selangor; Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya; Sungai Besar; Banting dan Kuala Kubu Bharu.

Waktu urusan bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang. Namun begitu pada hari terakhir Ramadan iaitu pada 23 Mei 2020 dari pukul 9.00 hingga 12.00 tengah hari.

Bagaimanapun operasi cawangan ini terikat dengan Prosedur Pencegahan Wabak COVID-19 LZS yang dibangunkan berdasarkan panduan dan rujukan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain daripada menunaikan zakat di cawangan LZS, orang ramai boleh membuat pembayaran zakat secara atas talian (online) melalui: i. EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my

ii. Perbankan internet di sembilan bank iaitu Public Bank, Hong Leong Bank, Maybank, CIMB, Ambank, Bank Rakyat, RHB, Bank Islam dan Alliance Bank

iii. Portal MyEg

iv. Pos Online

v. Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost

12 SYARIKAT KORPORAT TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN RM44.6 JUTA

0

SHAH ALAM, 13 Mei 2020 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada 12 syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM44,582,431.12 yang diserahkan dalam satu upacara di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Lembaga Tabung Haji (TH) yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen mendahului senarai syarikat korporat dengan jumlah bayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 sebanyak RM24,192,547.22. Ini diikuti Central Sugars Refinery Sdn. Bhd yang diwakili oleh Pengerusi Eksekutif, Datuk Bakry Hamzah dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2018 sebanyak RM5,011,191.65.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pula menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM2,662,963.62 yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain, dikuti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) diwakili oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Soffan Affendi Aminudin menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 berjumlah RM2,458,973.23.

Manakala bagi Kumpulan Worldwide Holdings Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datin Paduka Norazlina Zakaria menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM2,001,229.00, diikuti Ekuiti Nasional Berhad diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Syed Yasir Arafat Syed Abdul Kadir menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1,700,000.00.

Sementara itu, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,520,000.00 bagi tahun kewangan 2019 yang disampaikan oleh Pengerusinya, Dato’ Nor Azmie Diron, diikuti Malaysian Allied Health Sciences Academy Sdn Bhd diwakili oleh Pro-Canselor merangkap Pengerusi Eksekutif, Profesor Tan Sri Dr. Mohamed Haniffa Abdullah menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1,320,000.00.

Bank Islam Malaysia Berhad menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1,211,000.00 yang diserah oleh Pengerusi BIMB Holdings, Tan Sri Ambrin Buang, diikuti Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor diwakili oleh Pengurus Besar Kumpulan, Tamby Omar Mohammed menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1,000,000.00.

Turut menunaikan zakat perniagaan Sime Darby Property Berhad bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1,000,000.00 g diserah oleh Pengarahnya, Tengku Datuk Seri Ahmad Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, diikuti Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Rahman Ishak menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM504,526.40.

Upacara penyerahan zakat turut dihadiri oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop. Hadir sama Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Sarbini dan Ketua Divisyen Komunikasi Korporat, Datin Setia Norajun Ainun Mohd Hashim.

DAPUR RAMADAN ASNAF SELANGOR SANTUNI GOLONGAN ASNAF

0

PETALING JAYA, 10 Mei 2020 – Seramai 300 penerima dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mentari menerima bantuan keperluan asasi sempena program Dapur Ramadan Asnaf Selangor (DRAS) anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini hari ini.

Program yang berupa aktiviti turun padang ini bagi menyantuni golongan asnaf di Selangor pada bulan Ramadan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusof, “Program DRAS ini telah diadakan sejak 2 Ramadan lalu melibatkan daerah Kuala Langat, Gombak, Petaling, Klang, Sabak Bernam dan Sepang sepanjang tempoh PKP ini. Ia bagi memastikan kebajikan golongan fakir, miskin dan mualaf di Selangor terpelihara dengan menyalurkan keperluan dapur kepada golongan tersebut agar mereka tidak terputus bekalan makanan sepanjang Ramadan.”

Tambahnya, “Apatah lagi pada musim PKP, ia sedikit sebanyak membataskan pergerakan asnaf. Oleh itu di sini peranan LZS melalui wang zakat yang diamanahkan oleh pengeluar zakat di Selangor, diharap dapat meringankan beban golongan asnaf agar dapat bersahur dan beriftar sebaiknya.”

Untuk makluman, bantuan keperluan asasi ini merupakan bantuan bulanan yang disalurkan kepada golongan asnaf di Selangor. Ia disalurkan dengan kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS). Setiap bulan, LZS menyalurkan bantuan keperluan asasi kepada lebih 14,000 asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor melibatkan agihan zakat sebanyak RM1,000,000.

Turut hadir Timbalan Mufti Selangor, Dr Anhar Opir, Ahli Majlis Agama Islam Selangor, Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah dan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid.

60,312 PENERIMA FAKIR, MISKIN & MUALAF TERIMA BANTUAN RAMADAN RM27.6 JUTA

0

SHAH ALAM, 30 April 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mula mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM27,621,470 kepada 60,312 orang penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor bagi membantu golongan tersebut membuat persiapan Ramadan dengan lebih sempurna sewaktu menghadapi ujian wabak COVID-19, di samping dapat menumpukan perhatian kepada melaksanakan ibadah pada bulan Ramadan.

Ia melibatkan 14,922 keluarga fakir dan 41,240 keluarga miskin. Manakala, seramai 4,150 orang asnaf mualaf akan turut menerima bantuan Ramadan dan Hari Raya ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM19,126,550 (RM19.1 juta) diagihkan kepada golongan miskin, manakala RM7,240,290 (RM7.2 juta) pula diagihkan kepada golongan fakir dan RM1,254,630 (RM1.3 juta) untuk asnaf mualaf.

Daerah Klang mencatatkan bilangan paling ramai menerima bantuan iaitu kira-kira 11,571 penerima dengan nilai bantuan sebanyak RM5.3 juta. Ini diikuti daerah Petaling seramai 9,536 penerima (RM4.7 juta), daerah Hulu Langat seramai 9.068 penerima (RM4.2 juta), daerah Kuala Selangor seramai 6,845 penerima (RM3.1 juta), daerah Gombak seramai 6.078 penerima (RM2.8 juta), daerah Hulu Selangor seramai 5,372 penerima (RM2.5 juta), daerah Kuala Langat seramai 4,782 penerima (RM2.2 juta), daerah Sabak Bernam seramai 4,694 penerima (RM2.0 juta) dan daerah Sepang seramai 2,366 penerima (RM1.1 juta).

Setiap penerima mendapat bantuan zakat di antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan. Wang zakat ini akan disalurkan dengan lebih selamat dan melalui beberapa kaedah iaitu:

i. Pembayaran yang dikreditkan terus ke akaun asnaf

ii. Kaedah Baucer Tunai (V-Cash) yang membolehkan ketua keluarga tidak memiliki akaun bank untuk mengeluarkan wang bantuan zakat di mana-mana cawangan Bank Islam

iii. Tunai hanya bagi kes-kes tertentu seperti warga emas, individu yang sakit terlantar, akaun bank bermasalah dan sebagainya

Sehubungan itu bagi penerima yang ingin menyemak status bantuan zakat layari https://ezo.zakatselangor.com.my.

Berita Terkini