PETALING JAYA, 10 Mei 2020 – Seramai 300 penerima dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mentari menerima bantuan keperluan asasi sempena program Dapur Ramadan Asnaf Selangor (DRAS) anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini hari ini.

Program yang berupa aktiviti turun padang ini bagi menyantuni golongan asnaf di Selangor pada bulan Ramadan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusof, “Program DRAS ini telah diadakan sejak 2 Ramadan lalu melibatkan daerah Kuala Langat, Gombak, Petaling, Klang, Sabak Bernam dan Sepang sepanjang tempoh PKP ini. Ia bagi memastikan kebajikan golongan fakir, miskin dan mualaf di Selangor terpelihara dengan menyalurkan keperluan dapur kepada golongan tersebut agar mereka tidak terputus bekalan makanan sepanjang Ramadan.”

Tambahnya, “Apatah lagi pada musim PKP, ia sedikit sebanyak membataskan pergerakan asnaf. Oleh itu di sini peranan LZS melalui wang zakat yang diamanahkan oleh pengeluar zakat di Selangor, diharap dapat meringankan beban golongan asnaf agar dapat bersahur dan beriftar sebaiknya.”

Untuk makluman, bantuan keperluan asasi ini merupakan bantuan bulanan yang disalurkan kepada golongan asnaf di Selangor. Ia disalurkan dengan kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS). Setiap bulan, LZS menyalurkan bantuan keperluan asasi kepada lebih 14,000 asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor melibatkan agihan zakat sebanyak RM1,000,000.

Turut hadir Timbalan Mufti Selangor, Dr Anhar Opir, Ahli Majlis Agama Islam Selangor, Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah dan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid.