SHAH ALAM, 10 Jun 2020 – Kisah pakcik Mohd Lazim Ismail, 74 tahun dan isterinya Fatimah Mat Rani, 64 tahun yang menghuni rumah usang di dalam Estet Sungai Remok, Jalan Genting, Batang Kali, Hulu Selangor seperti tersiar di Buletin Utama, TV3 mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS)

Hasil siasatan mendapati pasangan ini merupakan asnaf yang telah disantuni oleh LZS sejak 2016. Antara bantuan yang diterima termasuklah bantuan kewangan bulanan, makanan bulanan dan Hari Raya.

Untuk makluman, rumah yang didiami oleh pasangan ini terletak di atas tanah milik perseorangan dan mereka hanya menumpang di tanah tersebut. Melihat keadaan rumah tersebut, pihak LZS telah beberapa kali menawarkan bantuan untuk memindahkan pasangan itu ke rumah yang lebih baik, namun mereka menolak dan lebih selesa menetap di situ.

Pasangan ini tidak mempunyai pendapatan yang tetap. Mereka hanya membuat kerja-kerja kampung untuk mendapat sumber pendapatan seperti memelihara ayam, bercucuk tanam dan menjualnya kepada jiran-jiran.

Meskipun tinggal berdua, LZS dengan kerjasama Penolong Amil Kariah sentiasa memantau kebajikan mereka dari semasa ke semasa.