SHAH ALAM, 7 Julai 2020 – Syarikat Serba Dinamik IT Solutions Sdn Bhd (SDIT) dilantik sebagai ejen kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi menyediakan kemudahan saluran bayaran zakat secara dalam talian menggunakan aplikasi QwikPay dalam satu majlis yang diadakan di sini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, LZS sentiasa mencari solusi bagi memudahkan umat Islam di Malaysia memenuhi tuntutan agama secara mudah, ringkas dan berinovasi lebih-lebih lagi dalam suasana norma baharu susulan pandemik COVID-19. 

“Oleh itu, LZS giat menyediakan saluran pembayaran zakat secara dalam talian yang lebih selamat dan risiko rendah. Ia secara tidak langsung bertujuan menggalakkan lebih ramai masyarakat Islam terutama di Selangor menunaikan zakat melalui platform digital, sejajar dengan hasrat untuk mendorong pembayaran zakat tanpa tunai di negeri ini.”

Tambahnya, menerusi aplikasi QwikPay pengeluar zakat boleh menunaikan zakat harta dan zakat fitrah tanpa had kepada LZS pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Turut hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan (SDIT), Dato Dr. Ir. Ts. Mohd. Abdul Karim Abdullah dan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.