SHAH ALAM, 30 April 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mula mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM27,621,470 kepada 60,312 orang penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor bagi membantu golongan tersebut membuat persiapan Ramadan dengan lebih sempurna sewaktu menghadapi ujian wabak COVID-19, di samping dapat menumpukan perhatian kepada melaksanakan ibadah pada bulan Ramadan.

Ia melibatkan 14,922 keluarga fakir dan 41,240 keluarga miskin. Manakala, seramai 4,150 orang asnaf mualaf akan turut menerima bantuan Ramadan dan Hari Raya ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM19,126,550 (RM19.1 juta) diagihkan kepada golongan miskin, manakala RM7,240,290 (RM7.2 juta) pula diagihkan kepada golongan fakir dan RM1,254,630 (RM1.3 juta) untuk asnaf mualaf.

Daerah Klang mencatatkan bilangan paling ramai menerima bantuan iaitu kira-kira 11,571 penerima dengan nilai bantuan sebanyak RM5.3 juta. Ini diikuti daerah Petaling seramai 9,536 penerima (RM4.7 juta), daerah Hulu Langat seramai 9.068 penerima (RM4.2 juta), daerah Kuala Selangor seramai 6,845 penerima (RM3.1 juta), daerah Gombak seramai 6.078 penerima (RM2.8 juta), daerah Hulu Selangor seramai 5,372 penerima (RM2.5 juta), daerah Kuala Langat seramai 4,782 penerima (RM2.2 juta), daerah Sabak Bernam seramai 4,694 penerima (RM2.0 juta) dan daerah Sepang seramai 2,366 penerima (RM1.1 juta).

Setiap penerima mendapat bantuan zakat di antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan. Wang zakat ini akan disalurkan dengan lebih selamat dan melalui beberapa kaedah iaitu:

i. Pembayaran yang dikreditkan terus ke akaun asnaf

ii. Kaedah Baucer Tunai (V-Cash) yang membolehkan ketua keluarga tidak memiliki akaun bank untuk mengeluarkan wang bantuan zakat di mana-mana cawangan Bank Islam

iii. Tunai hanya bagi kes-kes tertentu seperti warga emas, individu yang sakit terlantar, akaun bank bermasalah dan sebagainya

Sehubungan itu bagi penerima yang ingin menyemak status bantuan zakat layari https://ezo.zakatselangor.com.my.