SHAH ALAM, 20 Mei 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan sumbangan 2,000 set kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor yang disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi kepada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Indera Dr. Sha’ari Ngadiman dalam satu majlis yang diadakan di sini.

Set kelengkapan PPE ini terdiri perisai muka, sarung tangan, pakaian khas dan sarung penutup kasut telah dihasilkan dengan kerjasama kakitangan dan pelajar Management and Science University (MSU) bagi membantu petugas barisan hadapan meneruskan tugas menangani COVID-19.

Untuk makluman, sumbangan set PPE adalah sebahagian daripada Bantuan Khas COVID-19 yang diumumkan LZS pada Mac lepas, bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan wabak COVID-19.

Melalui Bantuan Khas COVID-19, LZS telah menyalurkan sumbangan tiga buah mesin ventilator dan kelengkapan perubatan lain kepada hospital dan institut perubatan sekitar Selangor.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.