SHAH ALAM, 4 Jun 2020 – Sebanyak 19 Cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mendapat kebenaran untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 1 Jun 2020 bagi memudahkan umat Islam di Selangor melaksanakan urusan kutipan dan agihan zakat.

Cawangan yang terlibat ialah Presint ALAMi, Shah Alam; Seksyen 14, Petaling Jaya; Bandar Baru Bangi; Ampang; Taman Melawati; Masjid Mujahideen, Damansara; Subang Jaya; Kompleks MAIS, Klang; Kuala Selangor; Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya; Sungai Besar; Banting dan Kuala Kubu Bharu.

Cawangan lain termasuklah Bandar Baru Ampang; Kompleks MAIS, Klang; Banting; Puchong; Bandar Baru Salak Tinggi; Masjid Negeri Shah Alam; Kota Damansara; Cheras dan Bandar Baru Selayang.

Waktu urusan bermula 9.00 pagi sehingga 3 petang hari Isnin sehingga Jumaat. Manakala bagi Sabtu, Ahad dan cuti umum cawangan ditutup.

Bagaimanapun operasi cawangan ini terikat dengan Prosedur Pencegahan Wabak COVID-19 LZS yang dibangunkan berdasarkan panduan dan rujukan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain daripada menunaikan zakat di cawangan LZS, orang ramai boleh membuat pembayaran zakat secara atas talian (online) melalui https://fpx.zakatselangor.com.my/.

Sementara bagi semakan status permohonan bantuan dan cetakan penyata bayaran zakat, layari https://ezo.zakatselangor.com.my/.