Utama Blog Halaman 11

PTPTN SALURKAN LEBIH RM206 RIBU WAKALAH AGIHAN UNTUK ASNAF SELANGOR

0

SHAH ALAM, 11 Oktober 2021 – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mengagihkan wakalah zakat PTPTN berjumlah RM206,100.00 kepada golongan asnaf di Selangor.

Ia melibatkan sumbangan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada 157 orang pelajar Bait Al-Hasanah dan 250 orang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan peruntukan wakalah zakat sebanyak RM97,100.00.

Manakala seramai 1,180 orang pelajar Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) turut menerima sumbangan wakalah dalam bentuk akaun SSPN melibatkan peruntukan sebanyak RM59,000.00.

Bagi meringankan beban ketua keluarga asnaf, PTPTN juga menyalurkan sumbangan berupa telefon pintar kepada 40 anak asnaf yang bersekolah rendah dan sumbangan komputer riba kepada 10 anak asnaf bersekolah menengah dengan peruntukan sebanyak RM50,000.

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

LZS PERUNTUKAN RM6 JUTA SUMBANGAN TABLET UNTUK 7,000 ORANG PELAJAR ASNAF FAKIR MISKIN DAN MUALAF

0

SHAH ALAM, 5 Oktober 2021 – Seramai 7,000 pelajar asnaf fakir, miskin dan mualaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sumbangan tablet berserta data internet melibatkan peruntukan agihan zakat di bawah inisiatif Zakat Selangor Peduli (ZSP) sebanyak RM6 juta.

Ia bagi meringankan beban keluarga asnaf dan memudahkan pelajar yang mengikuti sesi persekolahan melalui pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akibat pandemik COVID-19.

Simbolik majlis penyerahan disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dalam satu majlis yang diadakan di Istana Bukit Kayangan. Hadir sama dalam majlis penyerahan ini Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

Menurut Saipolyazan, pemilihan pelajar dilakukan melalui semakan silang dengan pangkalan data Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bagi mengenal pasti pelajar asnaf yang menduduki peperiksaan SPM 2021.

“Setiap pelajar bukan sahaja menerima sebuah tablet, malahan kemudahan data internet sebanyak RM30 sebulan untuk tempoh tujuh bulan. Pembayaran data internet ini akan dikreditkan oleh LZS ke akaun bank ketua keluarga asnaf atau menggunakan kaedah V-Cash (baucar tunai). Pada masa ini, proses penghantaran tablet ini telah dilaksanakan oleh pembekal yang dilantik bermula akhir September ke alamat rumah pelajar asnaf.”

Untuk makluman 2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta di bawah ZSP bagi menyalurkan agihan zakat secara bersasar bertujuan menyantuni asnaf dan golongan B40 terkesan, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan akibat penularan pandemik COVID-19.

Sebanyak 19 inisiatif bantuan ZSP disediakan yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

LZS PERUNTUKAN WANG PENGURUSAN OPERASI AMIL RM1.0 JUTA BANTU INSTITUSI PERUBATAN DAN PETUGAS BARISAN HADAPAN

0

SERDANG, 20 September 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan keseluruhan sumbangan sebanyak RM1,000,000.00 wang pengurusan operasi amil yang disalurkan bagi membantu institusi perubatan awam dan petugas barisan hadapan di Selangor dalam menangani pandemik COVID-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop berkata “Sumbangan tersebut menggunakan dana pengurusan operasi amil yang diperuntukkan di bawah salah satu inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli. Ia sebagai tanda sokongan dan keprihatinan amil zakat di Selangor membantu kesiapsiagaan institusi perubatan menangani penularan COVID-19.”

Beliau berkata demikian dalam Majlis Serahan Sumbangan Zakat Selangor Peduli Kepada Barisan Hadapan dan Hospital COVID-19 di Hospital Serdang hari ini.

Dalam majlis tersebut, LZS menyerahkan sumbangan berjumlah RM800,000.00 kepada 12 buah hospital yang digunakan bagi pembelian peralatan COVID-19. Sumbangan berkenaan diserahkan kepada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Indera Dr. Sha’ari Ngadiman.

Tambah Saipolyazan, “Setiap hospital menerima sumbangan di antara RM30,000.00 hingga RM100,000.00 bergantung kepada keperluan hospital. Ia akan digunakan bagi pembelian keperluan COVID-19 seperti katil, tilam, kerusi roda, alat bantuan pernafasan, tong oksigen dan sebagainya.”

Antara hospital yang menerima sumbangan tersebut termasuklah Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Hospital Ampang masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM100,000.00. Ini diikuti Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Hospital Serdang menerima sumbangan sebanyak RM90,000.00 setiap satu.

Sementara itu, Hospital UiTM pula menerima sumbangan sebanyak RM80,000.00. Manakala Hospital Shah Alam, Hospital Kajang dan Hospital Banting turut menerima sumbangan sebanyak RM50,000.00 Hospital Kuala Kubu Bharu, Hospital Tanjong Karang dan Hospital Sabak Bernam pula masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM30,000.00.

Sebelum ini, LZS telah menyalurkan sebahagian peruntukan RM1,000,000.00 wang pengurusan operasi amil kepada agensi terlibat. Antara yang menerima sumbangan termasuklah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) yang menerima sumbangan makanan kering dan barangan keperluan wanita, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Stadium Melawati menerima sumbangan pek makanan dan minuman serta kerusi plastik untuk petugas barisan hadapan dan orang awam.

Sementara, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Bestari Jaya telah menerima sumbangan menaik taraf PPV dan Pusat Vaksinasi Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya menerima sumbangan kerusi roda.

2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

LIMA PELAJAR TERIMA TAJAAN DERMASISWA LZS

0

SHAH ALAM, 15 September 2021 – Seramai lima orang pelajar yang menerima tajaan Dermasiswa Lembaga Zakat Selangor (LZS) berlepas ke Jordan hari ini untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah.

Turut menyertai mereka ialah 60 orang pelajar termasuk dua orang yang mendapat Biasiswa Khas Menteri Besar. Pemergian para pelajar tersebut diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, “Tajaan Dermasiswa ini membabitkan agihan zakat sebanyak RM104,000.00 bagi seorang pelajar untuk tempoh empat tahun pengajian meliputi yuran tahunan, wang persediaan, tiket pergi dan balik, pembelian buku dan perbelanjaan sara hidup. Mereka ini antara yang terbaik selepas sesi temuduga dan diharap akan membawa pulang kejayaan dan boleh menabur bakti di Selangor nanti.”

Ketika ini, seramai 93 orang pelajar yang masih melanjutkan pengajian di Timur Tengah menerima tajaan Dermasiswa LZS. Daripada jumlah tersebut, 16 orang merupakan pelajar asna fakir dan miskin, manakala 77 lagi adalah asnaf fisabilillah yang dibiayai pengajian menggunakan dana zakat.

LZS JALIN KERJASAMA RICHWORKS AGIH BAKUL MAKANAN

0

SHAH ALAM, 4 September 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama syarikat pengeluar zakat Richwork International Sdn Bhd hari ini mengagihkan sebanyak 250 bakul makanan kepada keluarga asnaf fakir dan miskin di Flat PKNS Seksyen 7, Shah Alam.

Sumbangan ini diagihkan melalui Pertubuhan Kebajikan Richwell yang disampaikan oleh Naib Presiden, Suley Nordyana Yahya. Turut sama dalam penyerahan sumbangan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

Setiap satu bakul bernilai RM120.00 ini mengandungi makanan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, sardin, ubi kentang, bawang, rempah ratus dan pelbagai barangan kering lain daripada jenama tempatan.

Penyerahan sumbangan ini merupakan antara aktiviti turun padang LZS bersama syarikat korporat bagi memberi pengalaman menyantuni golongan asnaf di Selangor. Ia secara tidak langsung mendekatkan hubungan pengeluar zakat dengan asnaf.
Untuk makluman selain sumbangan daripada syarikat korporat, LZS turut memperuntukkan sebanyak 26,350 bakul makanan melalui inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli untuk golongan yang terjejas termasuk asnaf. 2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

Hadir sama, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

ZAKAT SELANGOR PEDULI: 1,000 GURU TAHFIZ TERJEJAS DIBANTU

0

SHAH ALAM, 25 Ogos 2021 – Seramai 1,000 guru pusat tahfiz yang terjejas akibat pandemik COVID-19 akan dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi bantuan Zakat Selangor Peduli.

Selain itu, LZS turut menyalurkan bantuan yang bersesuaian kepada 250 institusi tahfiz yang berdaftar di bawah Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS).

Buat masa ini, maklumat berkaitan pusat tahfiz terbabit sedang dikumpul dengan kerjasama PITAS bagi membolehkan bantuan disalurkan mengikut kadar dan kelayakan yang ditetapkan.

Baru-baru ini media melaporkan hutang yuran pelajar maahad tahfiz di Selangor yang direkodkan, mencecah RM8 juta. Ini secara tidak langsung menyebabkan pusat tahfiz tidak mampu membayar gaji guru, bil air dan elektrik serta sewa bangunan dan urusan berkaitan.

PERKHIDMATAN CAWANGAN LZS SECARA JANJI TEMU MULAI 23 OGOS

0

SHAH ALAM, 20 Ogos 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan membuka semula perkhidmatan 12 cawangan LZS di daerah secara janji temu mulai 23 Ogos ini.

Waktu operasi bagi cawangan LZS adalah berdasarkan hari bekerja bermula dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang. Bagaimanapun, cawangan Kompleks UTC Shah Alam akan beroperasi setiap hari kecuali pada cuti umum, bermula dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin berurusan dengan LZS boleh melayari www.zakatselangor.com.my/janjitemu untuk membuat janji temu.

Slot janji temu ini boleh ditempah selewat-lewatnya empat jam sebelum waktu operasi cawangan bermula. Namun ia tertakluk kepada kekosongan slot janji temu di cawangan pada hari tersebut.

LZS ingin menasihatkan para pelanggan yang menghadiri janji temu untuk sentiasa mengemas kini Status Risiko COVID-19 masing-masing pada aplikasi MySejahtera dan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Selain berurusan di cawangan, LZS turut menyediakan platform dalam talian untuk memudahkan masyarakat.

Bagi mereka yang ingin membuat pembayaran zakat, ia boleh dilakukan di fpx.zakatselangor.com.my atau memuat turun aplikasi mudah alih Zakat Selangor secara percuma di Google Play Store untuk versi android dan Apple App Store untuk versi iOS.

Manakala permohonan bagi kes-kes kecemasan boleh menghubungi Penolong Amil Kariah (PAK) atau pegawai agihan dengan merujuk www.zakatselangor.com.my/koad-and-eoad.

Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343 atau live chat di www.zakatselangor.com.my yang beroperasi bermula 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

LZS SUMBANG 7,000 SET PPE BAGI PENGURUSAN JENAZAH COVID-19 SELANGOR

0

KLANG, 18 Ogos 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan 7,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai RM385,000.00 kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi kegunaan petugas-petugas pengurusan jenazah COVID-19 di negeri ini.

Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop kepada Pengarah JAIS, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu majlis penyerahan di sini.

Sumbangan PPE ini meliputi kelengkapan sut PPE, sarung penutup kasut but, sarung penutup kepala, pelitup muka N95, apron, tudung penutup kepala, sarung tangan getah, pelindung muka dan cecair sanitasi yang akan digunakan oleh petugas pengurusan jenazah.

Ini bagi memastikan pengurusan jenazah dapat dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, sekali gus menyempurnakan tuntutan fardu kifayah.

Sumbangan PPE adalah sebahagian inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang diumumkan pada 2 Julai lalu, melibatkan empat agenda utama bagi menyalurkan agihan zakat secara bersasar.

Empat agenda tersebut ialah memenuhi keperluan asasi golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf, meringankan beban golongan rentan, menyokong pemulihan institusi agama di Selangor serta menyokong keperluan asas barisan hadapan.

Melalui Zakat Selangor Peduli, LZS memperuntukkan RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

Untuk makluman pada tahun 2020, LZS telah menyumbangkan 2,000 set PPE kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi membantu keperluan kritikal pada waktu itu.

Turut hadir Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Dr. Anhar Opir.

LZS SERAH SUMBANGAN PEK MAKANAN & MINUMAN KEPADA PKRC MAEPS DAN CAC SHAH ALAM

0

SERDANG, 9 Ogos 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan sumbangan pek makanan dan minuman bernilai RM60,000 kepada pesakit dan petugas barisan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Melawati, Shah Alam.

Ia melibatkan 20,280 paket biskut dan kudapan, 9,600 botol air mineral serta 9,600 kotak minuman untuk keperluan di PKRC dan CAC berkenaan.

Sumbangan di bawah peruntukan amil ini adalah sebahagian inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang diumumkan pada 2 Julai lalu.

2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.0 juta peruntukan wang amil disalurkan bagi menyokong keperluan asas petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani pandemik COVID-19.

Sebelum ini, LZS telah menyalurkan sumbangan sebanyak 2,000 pek makanan dan minuman selama 30 hari kepada orang ramai yang hadir membuat penilaian kesihatan di di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati, Shah Alam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

ZAKAT SELANGOR PEDULI: LZS JALIN KERJASAMA PDRM AGIH BAKUL MAKANAN

0

PETALING JAYA, 22 Julai 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM100,000 berupa bakul makanan di bawah inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli, yang akan diedarkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada mereka yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

Sumbangan 1,000 bakul makanan ini diagihkan melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kepada mereka yang telah dikenal pasti terputus bekalan makanan berdasarkan maklumat daripada pelbagai pihak.

Setiap satu bakul bernilai RM100 ini mengandungi makanan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, sardin dan pelbagai barangan kering.

Hari ini sebanyak 150 bakul makanan diserahkan kepada IPD Petaling Jaya yang disampaikan oleh Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Mohd Sabirin Mohd Sarbini kepada Ketua Polis IPD Petaling, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Dalam perkembangan sama, LZS turut menyerahkan 20 buah kerusi roda kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan serta sukarelawan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ia merupakan tanda sokongan dan keprihatinan LZS terhadap usaha barisan hadapan yang bekerja keras untuk memastikan program vaksinasi berjalan lancar.

Sebelum ini, LZS telah menyumbang 20 buah kerusi roda kepada Hospital UiTM dilantik sebagai PPV berskala mega dan mengagihkan sebanyak 2,000 pek makanan selama sebulan kepada orang awam yang disahkan posifif covid-19 di Pusat Penilaian Covid-19 di Stadium Melawati, Shah Alam.

2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

Berita Terkini