SERDANG, 20 September 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan keseluruhan sumbangan sebanyak RM1,000,000.00 wang pengurusan operasi amil yang disalurkan bagi membantu institusi perubatan awam dan petugas barisan hadapan di Selangor dalam menangani pandemik COVID-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop berkata “Sumbangan tersebut menggunakan dana pengurusan operasi amil yang diperuntukkan di bawah salah satu inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli. Ia sebagai tanda sokongan dan keprihatinan amil zakat di Selangor membantu kesiapsiagaan institusi perubatan menangani penularan COVID-19.”

Beliau berkata demikian dalam Majlis Serahan Sumbangan Zakat Selangor Peduli Kepada Barisan Hadapan dan Hospital COVID-19 di Hospital Serdang hari ini.

Dalam majlis tersebut, LZS menyerahkan sumbangan berjumlah RM800,000.00 kepada 12 buah hospital yang digunakan bagi pembelian peralatan COVID-19. Sumbangan berkenaan diserahkan kepada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Indera Dr. Sha’ari Ngadiman.

Tambah Saipolyazan, “Setiap hospital menerima sumbangan di antara RM30,000.00 hingga RM100,000.00 bergantung kepada keperluan hospital. Ia akan digunakan bagi pembelian keperluan COVID-19 seperti katil, tilam, kerusi roda, alat bantuan pernafasan, tong oksigen dan sebagainya.”

Antara hospital yang menerima sumbangan tersebut termasuklah Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Hospital Ampang masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM100,000.00. Ini diikuti Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Hospital Serdang menerima sumbangan sebanyak RM90,000.00 setiap satu.

Sementara itu, Hospital UiTM pula menerima sumbangan sebanyak RM80,000.00. Manakala Hospital Shah Alam, Hospital Kajang dan Hospital Banting turut menerima sumbangan sebanyak RM50,000.00 Hospital Kuala Kubu Bharu, Hospital Tanjong Karang dan Hospital Sabak Bernam pula masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM30,000.00.

Sebelum ini, LZS telah menyalurkan sebahagian peruntukan RM1,000,000.00 wang pengurusan operasi amil kepada agensi terlibat. Antara yang menerima sumbangan termasuklah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) yang menerima sumbangan makanan kering dan barangan keperluan wanita, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Stadium Melawati menerima sumbangan pek makanan dan minuman serta kerusi plastik untuk petugas barisan hadapan dan orang awam.

Sementara, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Bestari Jaya telah menerima sumbangan menaik taraf PPV dan Pusat Vaksinasi Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya menerima sumbangan kerusi roda.

2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.