SHAH ALAM, 20 Ogos 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan membuka semula perkhidmatan 12 cawangan LZS di daerah secara janji temu mulai 23 Ogos ini.

Waktu operasi bagi cawangan LZS adalah berdasarkan hari bekerja bermula dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang. Bagaimanapun, cawangan Kompleks UTC Shah Alam akan beroperasi setiap hari kecuali pada cuti umum, bermula dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin berurusan dengan LZS boleh melayari www.zakatselangor.com.my/janjitemu untuk membuat janji temu.

Slot janji temu ini boleh ditempah selewat-lewatnya empat jam sebelum waktu operasi cawangan bermula. Namun ia tertakluk kepada kekosongan slot janji temu di cawangan pada hari tersebut.

LZS ingin menasihatkan para pelanggan yang menghadiri janji temu untuk sentiasa mengemas kini Status Risiko COVID-19 masing-masing pada aplikasi MySejahtera dan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Selain berurusan di cawangan, LZS turut menyediakan platform dalam talian untuk memudahkan masyarakat.

Bagi mereka yang ingin membuat pembayaran zakat, ia boleh dilakukan di fpx.zakatselangor.com.my atau memuat turun aplikasi mudah alih Zakat Selangor secara percuma di Google Play Store untuk versi android dan Apple App Store untuk versi iOS.

Manakala permohonan bagi kes-kes kecemasan boleh menghubungi Penolong Amil Kariah (PAK) atau pegawai agihan dengan merujuk www.zakatselangor.com.my/koad-and-eoad.

Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343 atau live chat di www.zakatselangor.com.my yang beroperasi bermula 9.00 pagi hingga 4.00 petang.