SHAH ALAM, 11 Oktober 2021 – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mengagihkan wakalah zakat PTPTN berjumlah RM206,100.00 kepada golongan asnaf di Selangor.

Ia melibatkan sumbangan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada 157 orang pelajar Bait Al-Hasanah dan 250 orang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan peruntukan wakalah zakat sebanyak RM97,100.00.

Manakala seramai 1,180 orang pelajar Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) turut menerima sumbangan wakalah dalam bentuk akaun SSPN melibatkan peruntukan sebanyak RM59,000.00.

Bagi meringankan beban ketua keluarga asnaf, PTPTN juga menyalurkan sumbangan berupa telefon pintar kepada 40 anak asnaf yang bersekolah rendah dan sumbangan komputer riba kepada 10 anak asnaf bersekolah menengah dengan peruntukan sebanyak RM50,000.

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.