SHAH ALAM, 25 Ogos 2021 – Seramai 1,000 guru pusat tahfiz yang terjejas akibat pandemik COVID-19 akan dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi bantuan Zakat Selangor Peduli.

Selain itu, LZS turut menyalurkan bantuan yang bersesuaian kepada 250 institusi tahfiz yang berdaftar di bawah Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS).

Buat masa ini, maklumat berkaitan pusat tahfiz terbabit sedang dikumpul dengan kerjasama PITAS bagi membolehkan bantuan disalurkan mengikut kadar dan kelayakan yang ditetapkan.

Baru-baru ini media melaporkan hutang yuran pelajar maahad tahfiz di Selangor yang direkodkan, mencecah RM8 juta. Ini secara tidak langsung menyebabkan pusat tahfiz tidak mampu membayar gaji guru, bil air dan elektrik serta sewa bangunan dan urusan berkaitan.