SHAH ALAM, 4 September 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama syarikat pengeluar zakat Richwork International Sdn Bhd hari ini mengagihkan sebanyak 250 bakul makanan kepada keluarga asnaf fakir dan miskin di Flat PKNS Seksyen 7, Shah Alam.

Sumbangan ini diagihkan melalui Pertubuhan Kebajikan Richwell yang disampaikan oleh Naib Presiden, Suley Nordyana Yahya. Turut sama dalam penyerahan sumbangan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

Setiap satu bakul bernilai RM120.00 ini mengandungi makanan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, sardin, ubi kentang, bawang, rempah ratus dan pelbagai barangan kering lain daripada jenama tempatan.

Penyerahan sumbangan ini merupakan antara aktiviti turun padang LZS bersama syarikat korporat bagi memberi pengalaman menyantuni golongan asnaf di Selangor. Ia secara tidak langsung mendekatkan hubungan pengeluar zakat dengan asnaf.
Untuk makluman selain sumbangan daripada syarikat korporat, LZS turut memperuntukkan sebanyak 26,350 bakul makanan melalui inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli untuk golongan yang terjejas termasuk asnaf. 2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

Hadir sama, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.