SERDANG, 9 Ogos 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan sumbangan pek makanan dan minuman bernilai RM60,000 kepada pesakit dan petugas barisan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Melawati, Shah Alam.

Ia melibatkan 20,280 paket biskut dan kudapan, 9,600 botol air mineral serta 9,600 kotak minuman untuk keperluan di PKRC dan CAC berkenaan.

Sumbangan di bawah peruntukan amil ini adalah sebahagian inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang diumumkan pada 2 Julai lalu.

2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.0 juta peruntukan wang amil disalurkan bagi menyokong keperluan asas petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani pandemik COVID-19.

Sebelum ini, LZS telah menyalurkan sumbangan sebanyak 2,000 pek makanan dan minuman selama 30 hari kepada orang ramai yang hadir membuat penilaian kesihatan di di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati, Shah Alam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.