KLANG, 18 Ogos 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan 7,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai RM385,000.00 kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi kegunaan petugas-petugas pengurusan jenazah COVID-19 di negeri ini.

Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop kepada Pengarah JAIS, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu majlis penyerahan di sini.

Sumbangan PPE ini meliputi kelengkapan sut PPE, sarung penutup kasut but, sarung penutup kepala, pelitup muka N95, apron, tudung penutup kepala, sarung tangan getah, pelindung muka dan cecair sanitasi yang akan digunakan oleh petugas pengurusan jenazah.

Ini bagi memastikan pengurusan jenazah dapat dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, sekali gus menyempurnakan tuntutan fardu kifayah.

Sumbangan PPE adalah sebahagian inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang diumumkan pada 2 Julai lalu, melibatkan empat agenda utama bagi menyalurkan agihan zakat secara bersasar.

Empat agenda tersebut ialah memenuhi keperluan asasi golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf, meringankan beban golongan rentan, menyokong pemulihan institusi agama di Selangor serta menyokong keperluan asas barisan hadapan.

Melalui Zakat Selangor Peduli, LZS memperuntukkan RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

Untuk makluman pada tahun 2020, LZS telah menyumbangkan 2,000 set PPE kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi membantu keperluan kritikal pada waktu itu.

Turut hadir Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Dr. Anhar Opir.