Utama Blog Halaman 15

10 KELUARGA ASNAF FAKIR DAN MISKIN DAPAT RUMAH BARU LZS

0

KUALA SELANGOR, 21 September 2020 – Sepuluh keluarga asnaf fakir dan miskin daerah Kuala Selangor hari ini menerima rumah baru dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) bernilai RM882,815 yang disampaikan dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di sini.

Bantuan pembinaan rumah tiga bilik yang lengkap dengan kemudahan elektrik dan air ini bernilai di antara RM86,000 hingga RM90,000 sebuah telah disampaikan oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Bantuan tersebut merupakan antara bentuk bantuan yang disediakan oleh LZS bagi memenuhi keperluan asasi asnaf fakir dan miskin di Selangor, agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan berkualiti.

Untuk makluman, sejak tahun 2017 sebanyak 550 buah rumah telah diserahkan kepada asnaf fakir, miskin dan muallaf dengan nilai keseluruhan agihan zakat sebanyak RM53.3 juta. Selain daripada bantuan tersebut, LZS turut menyalurkan bantuan baik pulih rumah melibatkan 1,229 buah rumah sejak tahun 2017 dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM31.9 juta

Turut hadir dalam majlis ini, Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Dato’ Muhamad Yaacob Dato’ Ismail, Timbalan Pengerusi LZS, Dato’ Dr. Aizuddin Ahmad dan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Ahmad Shahir Makhtar. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop

LZS LANCAR MODUL KECEMERLANGAN BENTUK PELAJAR BAIT AL-HASANAH

0

KLANG, 19 September 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan Modul Kecemerlangan Pelajar Bait Al-Hasanah yang disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Bait Al-Hasanah, Dato’ Paduka Profesor Emeritus Dr. Muhamad Awang di sini hari ini.

Modul komprehensif yang mendapat kerjasama dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini merupakan panduan kepada LZS dalam melaksanakan program dan aktiviti yang mampu membawa pelajar Bait Al-Hasanah mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek.

Ia dibangunkan khusus untuk pelajar Bait Al Hasanah bertujuan melahirkan generasi yang seimbang daripada aspek kecerdasan emosi, kecerdasan rohani, kecerdasan intelek serta kecerdasan kepimpinan.

Justeru itu, tiga komponen utama dijadikan penanda aras untuk mengukur sejauh mana kecemerlangan pelajar melibatkan:

  1. Kecemerlangan Sahsiah – Melahirkan pelajar yang mempunyai amalan disiplin baik, di samping aktif dalam aktiviti kerohanian dan pembinaan karakter.
  2. Kecemerlangan Akademik – Memastikan pelajar menguasai 3M (membaca, menulis, mengira), lulus peperiksaan umum dan pembangunan kerjaya
  • Kecemerlangan Kepimpinan – Melahirkan pelajar yang berkemampuan untuk memimpin

Untuk makluman, Bait Al-Hasanah merupakan asrama anak-anak asnaf fakir dan miskin di Negeri Selangor.  Ia dibangunkan bertujuan untuk memelihara keperluan pendidikan anak-anak asnaf fakir dan miskin ke arah kehidupan yang lebih baik dan terjamin. Sehingga kini terdapat 157 orang anak-anak asnaf yang mendapat perlindungan di rumah ini yang berusia diantara 10 sehingga 17 tahun. Kesemua anak-anak ini bersekolah di beberapa sekolah yang terletak berhampiran asrama ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M.Yusop.

LZS SALUR BANTUAN TABUNG PESAKIT HOSPITAL BERJUMLAH RM1.8 JUTA 

0

SHAH ALAM, 14 September 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,770,000 kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS di 17 buah hospital sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.  

Penyampaian sumbangan zakat ini disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi LZS, Dato’ Dr. Aziuddin Ahmad bertempat di Auditorium Masjid Negeri Shah Alam di sini. 

Mendahului senarai penerima ialah Hospital Kuala Lumpur yang menerima sumbangan zakat sebanyak RM300,000, diikuti dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM200,000. 

Sementara itu, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Yayasan Institut Jantung Negara (IJNF) masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM150,000. Manakala Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Kajang turut menerima sumbangan sebanyak RM100,000. 

Hospital Shah Alam, Hospital Putrajaya, Pusat Perubatan UiTM, Sungai Buloh dan Hospital Rehabilitasi, Cheras pula masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM50,000 diikuti Institut Kanser Negara sebanyak RM30,000. Hospital Banting dan Hospital Kuala Kubu Baharu menerima sebanyak RM20,000. 

Untuk makluman, LZS telah menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS sejak tahun 2008. Ia bertujuan meringankan bebanan pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital. Bantuan berbentuk geran ini diperuntukkan setiap tahun bagi memberi dana kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia. 

Hadir sama dalam majlis ini, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr. Rohaizat Yon dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.  

MAKLUM BALAS TULAR MOHON PINJAMAN WALAU DAPAT BANTUAN KEWANGAN BULANAN

0

SHAH ALAM, 10 September 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menafikan berkenaan mesej yang sedang tular di media sosial berkenaan ‘Permohonan Pinjaman Walaupun Mendapat Bantuan Kewangan Bulanan’.

Untuk makluman, LZS tidak pernah menyediakan bantuan berupa pinjaman kepada mana-mana individu di Selangor. Pengagihan zakat yang diuruskan oleh LZS adalah berdasarkan kepada hukum syarak meliputi lapan asnaf seperti yang dijelaskan dalam surah at-Taubah.

Orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan zakat boleh berurusan dengan Penolong Amil Kariah (PAK) yang dilantik di kariah masing-masing atau hadir ke cawangan LZS yang berhampiran.

Sehubungan itu, LZS menyeru kepada masyarakat untuk lebih berhati-hati dengan penipuan yang melibatkan penggunaan nama LZS.

LZS DAN PERKESO METERAI MEMORANDUM KOLABORASI (MoC) BANTU TINGKATKAN JARINGAN KESELAMATAN SOSIAL    

0

SHAH ALAM, 26 Ogos 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengukuhkan lagi hubungan strategik dengan menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) bagi membantu golongan sasar mendapatkan bantuan perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh menerusi Program Sinergi Sosial. 

Menerusi MoC ini, PERKESO akan memenuhi komitmennya kepada LZS dalam tujuh perkara, iaitu: 

  1. Melaksanakan modul Program Sinergi Sosial secara individu dan berkelompok; 
  2. Mewujudkan jalinan kerjasama strategik dengan agensi yang berpotensi; 
  3. Melibatkan LZS dalam sistem MySynergy; 
  4. Membantu penempatan pekerjaan golongan asnaf melalui Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP); 
  5. Meluaskan perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada golongan asnaf yang bekerja sendiri; 
  6. Menganjurkan Program Kesedaran Pembayaran Zakat kepada majikan, pekerja dan anggota PERKESO di dalam Program Seranta; dan 
  7. Perkongsian data majikan dan pekerja. 

Pada masa yang sama, LZS pula berperanan menawarkan beberapa perkhidmatan kepada PERKESO seperti perkongsian data asnaf yang memerlukan bantuan keselamatan sosial dan penempatan pekerjaan, penyaluran prospek bekerja sendiri untuk caruman SKSPS, menguruskan kes prospek yang tidak layak menerima manfaat PERKESO atau masih memerlukan bantuan tambahan, serta perkara-perkara lain yang relevan dari semasa ke semasa. 

Sejak Program Sinergi Sosial dilaksanakan pada 7 Ogos 2018, sebanyak 32 agensi kerajaan dan bukan kerajaan telah mengesahkan penyertaan di dalam program ini. Sehingga Ogos 2020, daripada 2,750 aktiviti penyaluran prospek atau pengurusan kes yang telah didaftarkan di dalam sistem MySynergy, seramai 1,250 prospek dari seluruh negara telah berjaya menerima bantuan daripada agensi yang terlibat.  

MoC ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop dan Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed. Majlis disaksikan oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalulail dan Pengerusi PERKESO, Prof. Tan Sri Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah. 

Saipolyazan memberitahu, penglibatan LZS sebagai salah satu agensi dalam Program Sinergi Sosial dapat memberikan lebih banyak manfaat terutamanya kepada golongan asnaf di Negeri Selangor.  

“Pada tahun ini, LZS menjangkakan pertambahan jumlah asnaf berikutan pandemik COVID-19 sehingga 80,000 keluarga di Selangor. Oleh itu, kolaborasi dalam progam ini dilihat dapat meningkatkan keberkesanan agihan zakat terhadap lebih ramai asnaf dengan mengelakkan berlaku pertindihan bantuan antara agensi, di samping memastikan bantuan yang diagihkan lebih holistik serta hanya diterima oleh golongan yang benar-benar memerlukan dan layak sahaja. Ini memastikan kebajikan dan keperluan hidup asnaf di Selangor terpelihara dan seterusnya dapat menikmati hidup yang lebih baik.” 

“Malah lebih utama, kerjasama melalui program pemasaran silang antara LZS dan PERKESO dapat dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran mengeluarkan zakat dalam kalangan majikan dan pekerja di Negeri Selangor memandangkan potensi pengeluar zakat di negeri ini amat besar. “ 

Sementara itu, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman berkata untuk menyokong Program Sinergi Sosial ini, PERKESO telah membangunkan sebuah platform ICT secara in-house iaitu Sistem MySynergy yang merupakan platform keselamatan sosial yang pertama di Malaysia. 

“Sistem yang mengadaptasi penggunaan teknologi blockchain ini mempunyai keupayaan untuk menjana tiga jenis data iaitu data individu-individu yang telah, sedang dan belum dibantu. Bagi memastikan pelaksanaan komprehensif Program Sinergi Sosial ini ke seluruh negara, setiap agensi dalam program ini akan diberikan akses kepada Sistem MySynergy,” tambah beliau. 

Selain mewujudkan ekosistem perlindungan keselamatan sosial yang holistik, jalinan kerjasama LZS-PERKESO ini dilihat sebagai penyelesaian tepat bagi permasalahan Fragmented Social Security. MoC ini juga dapat membantu kedua agensi untuk memastikan tiada prospek yang tercicir daripada menerima bantuan di samping dapat memenuhi tanggungjawab, amanah dan fungsi masing-masing dalam perspektif keselamatan sosial. 

LZS JEJAK KEMISKINAN KENAL PASTI KAKITANGAN MDSB MEMERLUKAN

0

SABAK BERNAM, 21 Ogos 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mengadakan program Jejak Kemiskinan bagi mengenal pasti mereka yang memerlukan dalam kalangan kakitangan MDSB.

Melalui program tersebut, seramai 30 kakitangan telah disenaraikan oleh MDSB terdiri daripada kakitangan yang berpendapatan rendah, mempunyai masalah kesihatan dan tanggungan ramai.

Hasil daripada bancian dan siasatan awal dilakukan, LZS telah mengenal pasti enam orang yang layak didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin. Manakala empat orang lagi layak dibantu di bawah asnaf gharimin disebabkan keperluan perubatan.

Mereka yang dikenal pasti ini akan disusuli dengan siasatan lanjut dan bantuan disalurkan berdasarkan kepada syarat dan kelayakan.

MAKLUM BALAS LZS BERKENAAN KELUARGA TINGGAL RUMAH USANG

0

SHAH ALAM, 21 Ogos 2020 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan berita yang tersiar di portal Selangorkini bertajuk ‘ADN Sumbang RM15,000 Bantu Baik Pulih Rumah Usang’ baru-baru ini.

Berdasarkan rekod, keluarga Masrubi Ruhani merupakan asnaf fakir yang berdaftar dengan LZS sejak tahun 2015. Antara bantuan yang diterima termasuklah bantuan Hari Raya dan bantuan pendidikan untuk anak-anaknya. Bantuan zakat ini telah disalurkan atas nama bekas suami yang merupakan ketua keluarga pada ketika itu.

Bagaimanapun, untuk makluman Masrubi telah berpisah dengan suaminya pada tahun 2019 dan beliau menanggung lima orang anak yang berusia di antara 10 hingga 25 tahun. Prihatin dengan keadaan keluarga Masrubi selepas berpisah dengan suami, LZS turut menyantuni keluarga ini dengan bantuan kewangan bulanan bermula Julai 2020.

Berkenaan rumah usang yang didiami, hasil siasatan LZS mendapati rumah tersebut adalah rumah pusaka keluarga. Sebelum ini, LZS pernah menawarkan bantuan sewa rumah pada tahun 2015, namun bekas suami beliau menolak tawaran tersebut.

Sehubungan itu melihat kepada kondisi rumah yang uzur, LZS mencadangkan agar keluarga ini berpindah ke rumah sewa yang lebih selesa dan ia akan dibiayai oleh LZS. Manakala bantuan lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan dan syarat kelayakan.

 

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN I & P GROUP

0

SHAH ALAM, 10 Ogos 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan daripada I & P Group Sdn Bhd berjumlah RM100,000.00 dalam satu majlis yang diadakan di Bangunan Zakat Selangor di sini.

I & P Group Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengarah Urusan, Datuk Yuslina Mohd Yunus menyerahkan cek zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 2019 kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

Hadir sama Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM23.0 JUTA

0

SHAH ALAM, 6 Ogos 2020 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada sembilan syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM22,973,247.69 yang diserahkan dalam satu upacara di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Tenaga Nasional Berhad yang diwakili Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mendahului senarai syarikat korporat dengan jumlah bayaran zakat perniagaan sebanyak RM5,389,531.68. Ini diikuti UMW Holdings Berhad yang diwakili oleh Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Dato’ Hamad Kama Piah Che Othman dengan jumlah zakat perniagaan sebanyak RM4,147,654.50.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia pula menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,582,879.90 yang diwakili Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, dikuti Bank Kerjasama Rakyat diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Rosman Mohamed menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM2,538,145.00.

Manakala bagi Kumpulan Alam Flora Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Mohd Zain Hassan menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,989,848.12, diikuti Anih Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MTD, Mohamad Husni Abdul Mutalib menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,976,921.45 dan Padiberas Nasional Berhad diwakili oleh Pengarah Urusan, Ismail Mohamed Yusof menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,797,366.05.

Sementara itu, Maybank Islamic Berhad diwakili oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Shahrizan Sulaiman menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM1,300,000.00. Turut menunaikan zakat perniagaan Northport (Malaysia) Bhd berjumlah RM1,250,901.00 diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof. Kesemua syarikat korporat yang hadir menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019.

Hadir sama dalam upacara penyerahan zakat ini, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi dan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail.  Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

 

LZS CAWANGAN RAWANG BERPINDAH KE BANDAR BARU SELAYANG

0

SHAH ALAM, 20 Julai 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) cawangan Rawang akan berpindah operasi ke LZS cawangan Bandar Baru Selayang mulai 3 Ogos 2020 ini.

Sehubungan itu, orang ramai berada di kawasan Rawang ingin berurusan dengan LZS boleh mengunjungi lokasi terkini Bandar Baru Selayang di alamat  Jalan 2/16, Dataran Templer, Bandar Baru Selayang, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

Perpindahan ini bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik dalam urusan zakat khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan sekitar. Walau bagaimanapun, orang ramai masih  mengunjungi ke cawangan berhampiran iaitu di Kuala Kubu Bharu dan Sungai Buloh.

Waktu operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 9.00 pagi hingga 3.00 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat, manakala tutup bagi cuti umum.

Untuk maklumat lanjut hubungi Talian Zakat Selangor 1300 88 4343 atau layari portal www.zakatselangor.com.my.

Dalam perkembangan sama, oirang ramai yang ingin membuat semakan bantuan dan cetakan penyata bayaran zakat boleh melayari https://ezo.zakatselangor.com.my. Manakala pembayaran zakat boleh dilakukan melalui transaksi atas talian dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my ataupun menerusi perbankan internet.

 

Berita Terkini