KUALA SELANGOR, 21 September 2020 – Sepuluh keluarga asnaf fakir dan miskin daerah Kuala Selangor hari ini menerima rumah baru dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) bernilai RM882,815 yang disampaikan dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di sini.

Bantuan pembinaan rumah tiga bilik yang lengkap dengan kemudahan elektrik dan air ini bernilai di antara RM86,000 hingga RM90,000 sebuah telah disampaikan oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Bantuan tersebut merupakan antara bentuk bantuan yang disediakan oleh LZS bagi memenuhi keperluan asasi asnaf fakir dan miskin di Selangor, agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan berkualiti.

Untuk makluman, sejak tahun 2017 sebanyak 550 buah rumah telah diserahkan kepada asnaf fakir, miskin dan muallaf dengan nilai keseluruhan agihan zakat sebanyak RM53.3 juta. Selain daripada bantuan tersebut, LZS turut menyalurkan bantuan baik pulih rumah melibatkan 1,229 buah rumah sejak tahun 2017 dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM31.9 juta

Turut hadir dalam majlis ini, Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Dato’ Muhamad Yaacob Dato’ Ismail, Timbalan Pengerusi LZS, Dato’ Dr. Aizuddin Ahmad dan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Ahmad Shahir Makhtar. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop