KLANG, 19 September 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan Modul Kecemerlangan Pelajar Bait Al-Hasanah yang disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Bait Al-Hasanah, Dato’ Paduka Profesor Emeritus Dr. Muhamad Awang di sini hari ini.

Modul komprehensif yang mendapat kerjasama dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini merupakan panduan kepada LZS dalam melaksanakan program dan aktiviti yang mampu membawa pelajar Bait Al-Hasanah mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek.

Ia dibangunkan khusus untuk pelajar Bait Al Hasanah bertujuan melahirkan generasi yang seimbang daripada aspek kecerdasan emosi, kecerdasan rohani, kecerdasan intelek serta kecerdasan kepimpinan.

Justeru itu, tiga komponen utama dijadikan penanda aras untuk mengukur sejauh mana kecemerlangan pelajar melibatkan:

  1. Kecemerlangan Sahsiah – Melahirkan pelajar yang mempunyai amalan disiplin baik, di samping aktif dalam aktiviti kerohanian dan pembinaan karakter.
  2. Kecemerlangan Akademik – Memastikan pelajar menguasai 3M (membaca, menulis, mengira), lulus peperiksaan umum dan pembangunan kerjaya
  • Kecemerlangan Kepimpinan – Melahirkan pelajar yang berkemampuan untuk memimpin

Untuk makluman, Bait Al-Hasanah merupakan asrama anak-anak asnaf fakir dan miskin di Negeri Selangor.  Ia dibangunkan bertujuan untuk memelihara keperluan pendidikan anak-anak asnaf fakir dan miskin ke arah kehidupan yang lebih baik dan terjamin. Sehingga kini terdapat 157 orang anak-anak asnaf yang mendapat perlindungan di rumah ini yang berusia diantara 10 sehingga 17 tahun. Kesemua anak-anak ini bersekolah di beberapa sekolah yang terletak berhampiran asrama ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M.Yusop.