SABAK BERNAM, 21 Ogos 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mengadakan program Jejak Kemiskinan bagi mengenal pasti mereka yang memerlukan dalam kalangan kakitangan MDSB.

Melalui program tersebut, seramai 30 kakitangan telah disenaraikan oleh MDSB terdiri daripada kakitangan yang berpendapatan rendah, mempunyai masalah kesihatan dan tanggungan ramai.

Hasil daripada bancian dan siasatan awal dilakukan, LZS telah mengenal pasti enam orang yang layak didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin. Manakala empat orang lagi layak dibantu di bawah asnaf gharimin disebabkan keperluan perubatan.

Mereka yang dikenal pasti ini akan disusuli dengan siasatan lanjut dan bantuan disalurkan berdasarkan kepada syarat dan kelayakan.