SHAH ALAM, 6 Ogos 2020 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada sembilan syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM22,973,247.69 yang diserahkan dalam satu upacara di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Tenaga Nasional Berhad yang diwakili Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mendahului senarai syarikat korporat dengan jumlah bayaran zakat perniagaan sebanyak RM5,389,531.68. Ini diikuti UMW Holdings Berhad yang diwakili oleh Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Dato’ Hamad Kama Piah Che Othman dengan jumlah zakat perniagaan sebanyak RM4,147,654.50.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia pula menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,582,879.90 yang diwakili Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, dikuti Bank Kerjasama Rakyat diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Rosman Mohamed menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM2,538,145.00.

Manakala bagi Kumpulan Alam Flora Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Mohd Zain Hassan menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,989,848.12, diikuti Anih Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MTD, Mohamad Husni Abdul Mutalib menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,976,921.45 dan Padiberas Nasional Berhad diwakili oleh Pengarah Urusan, Ismail Mohamed Yusof menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,797,366.05.

Sementara itu, Maybank Islamic Berhad diwakili oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Shahrizan Sulaiman menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM1,300,000.00. Turut menunaikan zakat perniagaan Northport (Malaysia) Bhd berjumlah RM1,250,901.00 diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof. Kesemua syarikat korporat yang hadir menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019.

Hadir sama dalam upacara penyerahan zakat ini, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi dan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail.  Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.