SHAH ALAM, 26 Ogos 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengukuhkan lagi hubungan strategik dengan menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) bagi membantu golongan sasar mendapatkan bantuan perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh menerusi Program Sinergi Sosial. 

Menerusi MoC ini, PERKESO akan memenuhi komitmennya kepada LZS dalam tujuh perkara, iaitu: 

  1. Melaksanakan modul Program Sinergi Sosial secara individu dan berkelompok; 
  2. Mewujudkan jalinan kerjasama strategik dengan agensi yang berpotensi; 
  3. Melibatkan LZS dalam sistem MySynergy; 
  4. Membantu penempatan pekerjaan golongan asnaf melalui Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP); 
  5. Meluaskan perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada golongan asnaf yang bekerja sendiri; 
  6. Menganjurkan Program Kesedaran Pembayaran Zakat kepada majikan, pekerja dan anggota PERKESO di dalam Program Seranta; dan 
  7. Perkongsian data majikan dan pekerja. 

Pada masa yang sama, LZS pula berperanan menawarkan beberapa perkhidmatan kepada PERKESO seperti perkongsian data asnaf yang memerlukan bantuan keselamatan sosial dan penempatan pekerjaan, penyaluran prospek bekerja sendiri untuk caruman SKSPS, menguruskan kes prospek yang tidak layak menerima manfaat PERKESO atau masih memerlukan bantuan tambahan, serta perkara-perkara lain yang relevan dari semasa ke semasa. 

Sejak Program Sinergi Sosial dilaksanakan pada 7 Ogos 2018, sebanyak 32 agensi kerajaan dan bukan kerajaan telah mengesahkan penyertaan di dalam program ini. Sehingga Ogos 2020, daripada 2,750 aktiviti penyaluran prospek atau pengurusan kes yang telah didaftarkan di dalam sistem MySynergy, seramai 1,250 prospek dari seluruh negara telah berjaya menerima bantuan daripada agensi yang terlibat.  

MoC ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop dan Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed. Majlis disaksikan oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalulail dan Pengerusi PERKESO, Prof. Tan Sri Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah. 

Saipolyazan memberitahu, penglibatan LZS sebagai salah satu agensi dalam Program Sinergi Sosial dapat memberikan lebih banyak manfaat terutamanya kepada golongan asnaf di Negeri Selangor.  

“Pada tahun ini, LZS menjangkakan pertambahan jumlah asnaf berikutan pandemik COVID-19 sehingga 80,000 keluarga di Selangor. Oleh itu, kolaborasi dalam progam ini dilihat dapat meningkatkan keberkesanan agihan zakat terhadap lebih ramai asnaf dengan mengelakkan berlaku pertindihan bantuan antara agensi, di samping memastikan bantuan yang diagihkan lebih holistik serta hanya diterima oleh golongan yang benar-benar memerlukan dan layak sahaja. Ini memastikan kebajikan dan keperluan hidup asnaf di Selangor terpelihara dan seterusnya dapat menikmati hidup yang lebih baik.” 

“Malah lebih utama, kerjasama melalui program pemasaran silang antara LZS dan PERKESO dapat dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran mengeluarkan zakat dalam kalangan majikan dan pekerja di Negeri Selangor memandangkan potensi pengeluar zakat di negeri ini amat besar. “ 

Sementara itu, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman berkata untuk menyokong Program Sinergi Sosial ini, PERKESO telah membangunkan sebuah platform ICT secara in-house iaitu Sistem MySynergy yang merupakan platform keselamatan sosial yang pertama di Malaysia. 

“Sistem yang mengadaptasi penggunaan teknologi blockchain ini mempunyai keupayaan untuk menjana tiga jenis data iaitu data individu-individu yang telah, sedang dan belum dibantu. Bagi memastikan pelaksanaan komprehensif Program Sinergi Sosial ini ke seluruh negara, setiap agensi dalam program ini akan diberikan akses kepada Sistem MySynergy,” tambah beliau. 

Selain mewujudkan ekosistem perlindungan keselamatan sosial yang holistik, jalinan kerjasama LZS-PERKESO ini dilihat sebagai penyelesaian tepat bagi permasalahan Fragmented Social Security. MoC ini juga dapat membantu kedua agensi untuk memastikan tiada prospek yang tercicir daripada menerima bantuan di samping dapat memenuhi tanggungjawab, amanah dan fungsi masing-masing dalam perspektif keselamatan sosial.