Utama Blog Halaman 14

LZS TERIMA RM9.8 JUTA ZAKAT PERNIAGAAN LIMA SYARIKAT KORPORAT

0

SHAH ALAM, 22 Disember 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan daripada lima syarikat korporat berjumlah RM9,849,417.05 yang diserahkan dalam satu upacara disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Bukit Kayangan di sini.

Gas Malaysia Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Hashimi Abdul Manap mendahului senarai syarikat korporat dengan jumlah bayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 sebanyak RM3,500,000.00. Ini diikuti SIRIM Berhad yang diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 sebanyak RM2,284,282.05.

JAKEL Trading Sdn. Bhd. pula menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 berjumlah RM1,250,000.00 yang diwakili oleh Pengarah Urusan Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel, dikuti QSR Brands (M) Holdings Berhad diwakili oleh Ketua Pegawai Kewangan, Razak Nordin menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1,704,135.00 dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) yang diwakili Pengerusi NEKMAT, Abdul Hamid Bahari menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 dengna jumlah RM1,111,000.00.

Hadir sama dalam upacara ini, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail.

LZS SEDIA RM34.6 JUTA BIAYAI PERSIAPAN PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK ASNAF FAKIR & MISKIN SERTA MUALAF SESI 2021

0
SHAH ALAM, 16 Disember 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM34,600,200 (RM34.6 juta) kepada 32,722 orang ketua keluarga asnaf fakir dan miskin serta mualaf di seluruh Selangor bagi membiayai persiapan persekolahan sesi 2021.
Bantuan persekolahan ini diagihkan setiap tahun bagi meringankan bebanan asnaf yang berdaftar dengan LZS terutamanya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak mereka. Ia diberikan bagi menampung kos yuran dan peralatan persekolahan untuk 70,258 orang pelajar asnaf bermula dari peringkat pra sekolah sehinggalah ke peringkat sekolah menengah.
Melalui bantuan ini, setiap pelajar asnaf akan menerima bantuan yuran persekolahan di antara RM100 hingga RM250 seorang, bergantung kepada tahap persekolahan mereka. Ia akan disalurkan melalui tiga kaedah bayaran iaitu kredit ke akaun bank ketua keluarga, baucer tunai (V-Cash) di mana-mana cawangan Bank Islam atau secara tunai bagi kes-kes tertentu.
Di samping itu, para pelajar turut menerima bantuan keperluan peralatan sekolah meliputi kelengkapan sepasang pakaian seragam, kasut dan stoking, peralatan seperti beg, alat tulis dan sebagainya. Melalui bantuan tersebut, setiap pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan akan menerima sebanyak RM170.00 seorang dan pelajar Sekolah Rendah Agama sebanyak RM150.00 seorang. Manakala pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan atau Sekolah Menengah Agama pula akan menerima sebanyak RM200.00.
Kelengkapan persekolahan ini boleh ditebus menggunakan MyKad ketua keluarga di pasar raya terpilih seperti Pasar Raya TESCO, Pasar Raya Borong SAKAN, JAKEL serta Fairuz Ramdan Design.
Manakala bagi tiga daerah iaitu melibatkan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang boleh menebus bantuan keperluan peralatan sekolah tersebut melalui kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS).

 

KEMPEN MY2.5: TINGKATKAN KESEDARAN BERZAKAT BAGI MEMENUHI KEPERLUAN AGIHAN DI SELANGOR

0

SHAH ALAM, 1 Disember 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan Kempen My2.5 sepanjang Disember ini bagi memenuhi keperluan agihan zakat di negeri Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop dalam siaran facebook Zakat Selangor berkata, “Kempen yang membawa tagline ‘Sedikit Bagi Anda, Segalanya Buat Mereka’ bertujuan untuk mengajak seluruh masyarakat yang layak untuk menunaikan kewajipan zakat dan bersama-sama membantu golongan asnaf yang memerlukan di negeri ini.”

Menurutnya lagi, sehingga kini hampir 70,000 ribu keluarga direkodkan di Selangor dan telah disantuni oleh LZS. Susulan pandemik COVID-19, jumlah keluarga ini dijangka akan terus meningkat sehingga hujung tahun dan ia secara tidak langsung menyebabkan keperluan agihan zakat di Selangor turut meningkat.

Justeru itu, kempen My2.5 dilaksanakan bagi memudahkan masyarakat untuk memahami dan menyedari kewajipan ibadat zakat serta turut sama membantu kelangsungan hidup golongan yang amat memerlukan pada ketika ini.

Dalam pada itu, menerusi kempen berkenaan pengeluar zakat yang menunaikan zakat di LZS melalui pelbagai saluran pembayaran disediakan, bermula 1 hingga 31 Disember berpeluang menyertai peraduan Jom Bayar & Menang dan memenangi hadiah menarik.

Maklumat terkini berkenaan kempen My2.5 akan sentiasa diwar-warkan di saluran rasmi LZS iaitu portal www.zakatselangor.com.my/my2point5 atau Facebook dan Instagram ZakatSelangor.

IBU TUNGGAL TERIMA RUMAH LZS

0

KUALA SELANGOR, 1 Disember 2020 – Seorang ibu tunggal tidak dapat menahan air mata  apabila menerima bantuan baru daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu majlis yang diadakan di sini hari ini.

Penyerahan kunci rumah tiga bilik ini disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

Azizah Ahmad, 52, bersama keluarganya sebelum ini terpaksa menumpang di sebuah inap desa selama empat bulan berikutan rumah pusakanya yang musnah dihempap pokok pulai setinggi 27 meter kira-kira lima bulan lepas.

“Alhamdulilah, saya amat bersyukur dengan rumah yang dibina ini. Ia amat selesa dan membantu kami sekeluarga untuk mempunyai rumah sendiri.

Dalam majlis yang sama, dua lagi asnaf turut menerima bantuan rumah baru iaitu. Masjaliah Johari, 43, dan Marseyamah Sijono, 68, masing-masing di Kampung Sungai Tengi Kanan dan Sungai Burong di sini.

Untuk makluman, sejak 2010 LZS telah membina sebanyak 2,281 buah rumah asnaf fakir, miskin dan muallaf dengan nilai keseluruhan hampir RM100 juta.

“Pada tahun ini, penerima bantuan itu rata-ratanya melibatkan mereka yang ditimpa musibah seperti bencana alam dan kebakaran yang memusnahkan kediaman, di mana setiap rumah yang dibina bernilai antara RM80,000 hingga RM93,000 bergantung kepada syarat dan kelayakan,” jelasnya lagi.

556 PELAJAR POLITEKNIK SHAH ALAM TERIMA BANTUAN LZS

0

SHAH ALAM, 27 November 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni 556 pelajar Politeknik Shah Alam yang terkandas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengagihkan pek makanan dalam satu majlis yang diadakan di sini.

Menurut Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid, bantuan bernilai lebih RM50,000 bagi meringankan beban pelajar terutama daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Terdapat lebih 500 pelajar terkandas yang tidak dapat pulang ke rumah masing-masing atas pelbagai sebab. Mereka ini datang dari keluarga yang berpendapatan rendah. Oleh itu kekangan bekalan makanan. Prihatin dengan apa yang berlaku, LZS mengambil insiatif menyumbangkan pek makanan mentah dan pelajar ini akan masak sendiri,” katanya lagi.

Pengarah Politeknik Shah Alam, Dr Mohd Zahari Ismail ketika ditemui mengucapkan  terima kasih kepada pengeluar zakat dan LZS atas keprihatinan mengagihkan bekalan makanan kepada pelajarnya.

“Kami sangat bersyukur kerana bantuan yang disalurkan. Ia membolehkan pelajar menyara kehidupan untuk tempoh lebih sebulan, di samping meneruskan pengajian kerana sekarang musim peperiksaan,” katanya.

Sebelum ini, LZS turut menyantuni 342 pelajar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) yang sedang menghadapi peperiksaan dan terkesan susulan PKPB.

LZS SUMBANG KOTAK MAKANAN UNTUK PETUGAS BARISAN HADAPAN DAERAH KLANG 

0

KLANG, 20 Oktober 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan sumbangan kotak makanan kepada para petugas barisan hadapan daerah Klang yang bertugas menangani pandemik COVID-19.  

Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid kepada Pegawai Kesihatan daerah Klang, Dr. Masitah Mohamed dalam satu majlis yang diadakan di sini. 

Untuk makluman penyerahan sumbangan kotak makanan berupa barangan kering bernilai RM10,000.00, diserahkan kepada 1,183 petugas di 29 klinik kesihatan di daerah Klang.

TIGA LAGI CAWANGAN LZS DITANGGUHKAN OPERASI SEPANJANG PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT BERMULA 19 OKTOBER 2020  

0

SHAH ALAM, 19 Oktober 2020 – Operasi di tiga buah cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang terletak di mukim zon merah, ditangguhkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 19 Oktober 2020 ini.

Cawangan yang terlibat ialah Masjid Kota Damansara, Seksyen 14, Petaling Jaya dan juga Puchong.

Sebelum ini, LZS turut menangguhkan operasi di cawangan Kompleks MAIS, Klang, Cawangan Klang Sentral dan Sungai Buloh.

Sehubungan itu, masyarakat digalakkan memilih transaksi atas talian sebagai alternatif urusan zakat. Bagi semakan bantuan dan cetakan penyata, layari ezo.zakatselangor.com.my, manakala untuk pembayaran zakat sila layari fpx.zakatselangor.com.my.

Sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.

22 CAWANGAN LZS BEROPERASI SEPANJANG PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT   

0

SHAH ALAM, 13 Oktober 2020 – Operasi Lembaga Zakat Selangor (LZS) di 22 cawangan akan berjalan seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa di Negeri Selangor bermula 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020 mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Bagaimanapun operasi di dua cawangan LZS iaitu Kompleks MAIS, Klang dan Klang Sentral yang terletak di kawasan zon merah akan ditangguhkan sepanjang tempoh PKPB.  

Sebagai langkah kawalan dan pencegahan, semua pelanggan LZS diwajibkan untuk memakai pelitup muka, mengimbas suhu badan, menggunakan cecair sanitasi tangan yang disediakan dan mengimbas QR Code MySejahtera apabila mengunjungi premis LZS. Selain itu, kebersihan premis LZS turut akan dipantau dan dipastikan berada pada tahap optimum dengan mengadakan proses disinfeksi secara berkala. 

Waktu operasi di semua cawangan LZS sepanjang tempoh PKPB adalah dari jam 9.00 pagi hingga 3.30 petang. Manakala bagi cawangan UTC Shah Alam adalah dari jam 8.00 pagi hingga 7.00 malam.  

Masyarakat juga digalakkan memilih transaksi atas talian sebagai alternatif urusan zakat. Bagi semakan bantuan dan cetakan penyata, layari ezo.zakatselangor.com.my, manakala untuk pembayaran zakat sila layari fpx.zakatselangor.com.my

Sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343. 

MCDONALD’S MALAYSIA TERIMA SIJIL PENGIKTIRAFAN PEMBAYAR ZAKAT KORPORAT LZS

0

PETALING JAYA, 5 Oktober 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyampaikan Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat kepada Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd. Penyerahan sijil tersebut merupakan satu bentuk akuan kepada syarikat-syarikat di Malaysia yang menunaikan zakat perniagaan di Selangor. Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd., pengendali tempatan McDonald’s Malaysia, merupakan penerima pertama Sijil Pengiktirafan  Pembayar Zakat Korporat daripada LZS. Sijil ini akan dipamerkan di 94 restoran McDonald’s di Selangor.

“Kami sangat berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan oleh LZS. Sesungguhnya, pembayaran zakat korporat merupakan komitmen berterusan kami sejak diambil alih oleh Reza Group beberapa tahun lalu. Semoga Zakat yang ditunaikan ini dapat terus membantu golongan yang memerlukan di Malaysia, disamping memenuhi kewajipan kami sebagai umat Islam,” kata Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi.

Untuk makluman, pada tahun 2019 McDonald’s Malaysia menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM1.4 juta untuk negeri-negeri di seluruh Malaysia. Untuk negeri Selangor, sebanyak RM101,000.00 zakat perniagaan telah ditunaikan.

“Sijil Pembayar Zakat Korporat ini merupakan inisiatif LZS untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada syarikat yang menunaikan zakat perniagaan di Selangor. Ini juga sebagai dorongan kepada syarikat lain untuk tampil menunaikan kewajipan berzakat agar sama-sama dapat membantu golongan asnaf yang memerlukan lebih-lebih lagi dalam krisis COVID-19 yang berlaku. Pada tahun ini, LZS menjangkakan jumlah keluarga asnaf fakir dan miskin di Selangor akan meningkat sehingga 80,000 keluarga. Oleh yang demikian, kutipan zakat daripada pembayar di Selangor amat penting bagi memastikan kebajikan dan keperluan hidup asnaf di Selangor terpelihara dan seterusnya dapat menikmati hidup yang lebih baik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

“Pemberian Sijil Pembayar Zakat Korporat ini sebenarnya memberi nilai tambah kepada sijil Halal sedia ada yang dimiliki oleh sesebuah syarikat. Ia secara langsung memberi kefahaman kepada pengguna berhubung urus niaga sesebuah syarikat dan membolehkan pengguna membuat pilihan yang lebih baik terhadap tempat atau perkhidmatan yang diingini. Semoga sijil yang diberikan kepada McDonald’s Malaysia hari ini mampu mengukuhkan lagi keyakinan rakyat Malaysia terhadap jenama McDonald’s di negara ini,” tambah Saipolyazan.

 

31 SYARIKAT KORPORAT TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN BERJUMLAH RM3.5 JUTA

0

SHAH ALAM, 30 September 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima zakat perniagaan daripada 31 buah syarikat korporat berjumlah RM3,459,876.35 dalam satu majlis disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi LZS, Dato’ Dr. Aziuddin Ahmad bertempat di Wisma PKPS di sini hari ini.

Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad mendahului senarai syarikat yang menunaikan zakat perniagaan, menyerahkan zakatnya berjumlah RM951,200.11, diikuti Advance Air Traffic Systems (M) Sdn. Bhd. sebanyak RM497,300.00 dan Bank Muamalat Malaysia Berhad yang mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM330,264.84.

Sementara Etiqa General Takaful Berhad & Etiqa Family Takaful Berhad pula menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM261,320.00, diikuti Agrobank Berhad sebanyak RM252,895.00, Public Islamic Bank Berhad sebanyak RM200,000.00 dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebanyak RM150,551.95.

Turut menyerahkan zakat termasuklah Koperasi Co-Opbank Pertama Malaysia Berhad yang mengeluarkan zakat perniagaan sebanyak RM106,683.23, Azman Hamzah Plastik Sdn. Bhd. dan Industrial Quality Management Sdn. Bhd. masing-masing mengeluarkan zakat sebanyak RM100,000.00.

Dalam majlis sama, LZS turut menyampaikan bantuan agihan zakat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM484,830.00. Mereka ialah Yuslina Yunus yang menerima bantuan perubatan bagi rawatan dialisis berjumlah RM37,830.00, dikuti Khairul Affendi Karim menerima bantuan bina rumah berjumlah RM93,000.00. Turut menerima bantuan zakat adalah Nadi Intelek, sebuah organisasi yang menguruskan pendidikan bagi anak-anak autisme di Selangor dengan bantuan geran berjumlah berjumlah RM354,000.00

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

 

Berita Terkini