PETALING JAYA, 5 Oktober 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyampaikan Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat kepada Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd. Penyerahan sijil tersebut merupakan satu bentuk akuan kepada syarikat-syarikat di Malaysia yang menunaikan zakat perniagaan di Selangor. Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd., pengendali tempatan McDonald’s Malaysia, merupakan penerima pertama Sijil Pengiktirafan  Pembayar Zakat Korporat daripada LZS. Sijil ini akan dipamerkan di 94 restoran McDonald’s di Selangor.

“Kami sangat berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan oleh LZS. Sesungguhnya, pembayaran zakat korporat merupakan komitmen berterusan kami sejak diambil alih oleh Reza Group beberapa tahun lalu. Semoga Zakat yang ditunaikan ini dapat terus membantu golongan yang memerlukan di Malaysia, disamping memenuhi kewajipan kami sebagai umat Islam,” kata Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi.

Untuk makluman, pada tahun 2019 McDonald’s Malaysia menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM1.4 juta untuk negeri-negeri di seluruh Malaysia. Untuk negeri Selangor, sebanyak RM101,000.00 zakat perniagaan telah ditunaikan.

“Sijil Pembayar Zakat Korporat ini merupakan inisiatif LZS untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada syarikat yang menunaikan zakat perniagaan di Selangor. Ini juga sebagai dorongan kepada syarikat lain untuk tampil menunaikan kewajipan berzakat agar sama-sama dapat membantu golongan asnaf yang memerlukan lebih-lebih lagi dalam krisis COVID-19 yang berlaku. Pada tahun ini, LZS menjangkakan jumlah keluarga asnaf fakir dan miskin di Selangor akan meningkat sehingga 80,000 keluarga. Oleh yang demikian, kutipan zakat daripada pembayar di Selangor amat penting bagi memastikan kebajikan dan keperluan hidup asnaf di Selangor terpelihara dan seterusnya dapat menikmati hidup yang lebih baik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

“Pemberian Sijil Pembayar Zakat Korporat ini sebenarnya memberi nilai tambah kepada sijil Halal sedia ada yang dimiliki oleh sesebuah syarikat. Ia secara langsung memberi kefahaman kepada pengguna berhubung urus niaga sesebuah syarikat dan membolehkan pengguna membuat pilihan yang lebih baik terhadap tempat atau perkhidmatan yang diingini. Semoga sijil yang diberikan kepada McDonald’s Malaysia hari ini mampu mengukuhkan lagi keyakinan rakyat Malaysia terhadap jenama McDonald’s di negara ini,” tambah Saipolyazan.