SHAH ALAM, 22 Disember 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan daripada lima syarikat korporat berjumlah RM9,849,417.05 yang diserahkan dalam satu upacara disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Bukit Kayangan di sini.

Gas Malaysia Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Hashimi Abdul Manap mendahului senarai syarikat korporat dengan jumlah bayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 sebanyak RM3,500,000.00. Ini diikuti SIRIM Berhad yang diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 sebanyak RM2,284,282.05.

JAKEL Trading Sdn. Bhd. pula menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 berjumlah RM1,250,000.00 yang diwakili oleh Pengarah Urusan Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel, dikuti QSR Brands (M) Holdings Berhad diwakili oleh Ketua Pegawai Kewangan, Razak Nordin menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1,704,135.00 dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) yang diwakili Pengerusi NEKMAT, Abdul Hamid Bahari menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 dengna jumlah RM1,111,000.00.

Hadir sama dalam upacara ini, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail.