SHAH ALAM, 30 September 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima zakat perniagaan daripada 31 buah syarikat korporat berjumlah RM3,459,876.35 dalam satu majlis disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi LZS, Dato’ Dr. Aziuddin Ahmad bertempat di Wisma PKPS di sini hari ini.

Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad mendahului senarai syarikat yang menunaikan zakat perniagaan, menyerahkan zakatnya berjumlah RM951,200.11, diikuti Advance Air Traffic Systems (M) Sdn. Bhd. sebanyak RM497,300.00 dan Bank Muamalat Malaysia Berhad yang mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM330,264.84.

Sementara Etiqa General Takaful Berhad & Etiqa Family Takaful Berhad pula menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM261,320.00, diikuti Agrobank Berhad sebanyak RM252,895.00, Public Islamic Bank Berhad sebanyak RM200,000.00 dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebanyak RM150,551.95.

Turut menyerahkan zakat termasuklah Koperasi Co-Opbank Pertama Malaysia Berhad yang mengeluarkan zakat perniagaan sebanyak RM106,683.23, Azman Hamzah Plastik Sdn. Bhd. dan Industrial Quality Management Sdn. Bhd. masing-masing mengeluarkan zakat sebanyak RM100,000.00.

Dalam majlis sama, LZS turut menyampaikan bantuan agihan zakat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM484,830.00. Mereka ialah Yuslina Yunus yang menerima bantuan perubatan bagi rawatan dialisis berjumlah RM37,830.00, dikuti Khairul Affendi Karim menerima bantuan bina rumah berjumlah RM93,000.00. Turut menerima bantuan zakat adalah Nadi Intelek, sebuah organisasi yang menguruskan pendidikan bagi anak-anak autisme di Selangor dengan bantuan geran berjumlah berjumlah RM354,000.00

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.