KUALA SELANGOR, 1 Disember 2020 – Seorang ibu tunggal tidak dapat menahan air mata  apabila menerima bantuan baru daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu majlis yang diadakan di sini hari ini.

Penyerahan kunci rumah tiga bilik ini disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

Azizah Ahmad, 52, bersama keluarganya sebelum ini terpaksa menumpang di sebuah inap desa selama empat bulan berikutan rumah pusakanya yang musnah dihempap pokok pulai setinggi 27 meter kira-kira lima bulan lepas.

“Alhamdulilah, saya amat bersyukur dengan rumah yang dibina ini. Ia amat selesa dan membantu kami sekeluarga untuk mempunyai rumah sendiri.

Dalam majlis yang sama, dua lagi asnaf turut menerima bantuan rumah baru iaitu. Masjaliah Johari, 43, dan Marseyamah Sijono, 68, masing-masing di Kampung Sungai Tengi Kanan dan Sungai Burong di sini.

Untuk makluman, sejak 2010 LZS telah membina sebanyak 2,281 buah rumah asnaf fakir, miskin dan muallaf dengan nilai keseluruhan hampir RM100 juta.

“Pada tahun ini, penerima bantuan itu rata-ratanya melibatkan mereka yang ditimpa musibah seperti bencana alam dan kebakaran yang memusnahkan kediaman, di mana setiap rumah yang dibina bernilai antara RM80,000 hingga RM93,000 bergantung kepada syarat dan kelayakan,” jelasnya lagi.