Utama Blog Halaman 12

ZAKAT SELANGOR PEDULI: LZS AGIH 120 BAKUL MAKANAN DENGAN KERJASAMA IPD SHAH ALAM

0

SHAH ALAM, 23 Julai 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan agihan zakat berupa 120 bakul makanan yang diperuntukkan di bawah inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli untuk diedarkan kepada mereka yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 melalui kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Penyerahan bakul makanan ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop kepada Ketua Polis Balai Sri Muda, Inspektor Mohammad Firdaus Mohd Khairi dalam satu majlis serahan di sini.

Bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada 1,000 bakul makanan ini yang diagihkan melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kepada mereka yang telah dikenal pasti terputus bekalan makanan berdasarkan maklumat daripada pelbagai pihak.

Setiap satu bakul bernilai RM100 ini mengandungi makanan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, sardin dan pelbagai barangan kering.

Untuk makluman, LZS memperuntukkan sebanyak 26,350 bakul makanan melalui inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli untuk golongan yang terjejas termasuk asnaf. 2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

LZS SALUR BANTUAN MAKANAN DI PUSAT PENILAIAN COVID-19

0

SHAH ALAM, 16 Julai 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan 2,000 pek makanan dan minuman untuk diedarkan kepada orang awam yang hadir membuat penilaian kesihatan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Stadium Melawati selama tempoh 30 hari bermula hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, sumbangan melibatkan 60,000 roti dan air ini menggunakan peruntukan wang amil, akan diedarkan setiap hari kepada orang awam yang hadir.

“CAC di Stadium Melawati dipilih kerana ia dilihat mempunyai jumlah kehadiran yang tinggi di Selangor. Melihat kepada keperluan mendesak ini, maka LZS mengambil inisiatif menyediakan pek makanan dan minuman kepada orang awam. Sumbangan tersebut merupakan salah satu inisiatif inisiatif bantuan di bawah Zakat Selangor Peduli.”

2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.0 juta peruntukan wang amil disalurkan bagi menyokong keperluan asas petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani pandemik COVID-19.

ZAKAT SELANGOR PEDULI: LZS PERUNTUKAN RM69.3 JUTA SANTUNI ASNAF DAN GOLONGAN TERKESAN

0

SHAH ALAM, 2 Julai 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM69.3 juta menerusi 19 inisiatif bantuan di bawah Zakat Selangor Peduli bagi menyantuni asnaf dan golongan B40 terkesan, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan akibat penularan pandemik COVID-19.

Inisiatif bantuan tersebut akan memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi yang dilaksanakan secara berperingkat sehingga Disember ini.

Empat agenda dirangka bagi menyalurkan agihan zakat secara bersasar dengan keutamaan untuk memenuhi keperluan asasi golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf, meringankan beban golongan rentan, menyokong pemulihan institusi agama di Selangor serta menyokong keperluan asas barisan hadapan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, “Melalui Zakat Selangor Peduli, LZS memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM25.7 juta untuk menyantuni kebajikan golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor. Ia meliputi bantuan asasi dan keperluan hidup serta bantuan pendidikan membabitkan seramai 36,622 penerima.”

Jumlah penerima itu termasuklah 1,000 penerima dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) serta 7,000 pelajar asnaf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal menerima bantuan komputer riba dan tablet berserta data internet bagi memudahkan pelajar mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh PKP.

Bagi peniaga asnaf dan bukan asnaf yang terjejas turut akan mendapat manfaat daripada inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli membabitkan sejumlah RM1.5 juta kepada 700 penerima.

Sementara itu, sebanyak RM30.6 juta lagi diperuntukkan membabitkan 431 institusi dan 7,000 penerima yang mendapat manfaat daripada empat inisiatif bantuan bertujuan menyokong pemulihan institusi agama di Selangor.

Manakala bantuan sebanyak RM1.0 juta pula akan disalurkan bagi menyokong keperluan asas barisan hadapan melalui sumbangan kepada hospital, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menggunakan peruntukan asnaf amil.

Tambah Saipolyazan lagi, LZS juga memperuntukkan sebanyak RM10.5 juta agihan zakat khusus untuk kelangsungan kumpulan rentan yang terkesan, terutama golongan B40 yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan membabitkan 15,000 penerima.

“Khusus golongan B40 menetap di Selangor yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan boleh memohon Bantuan Zakat Selangor Peduli bermula hari ini (2 Julai) secara dalam talian melalui laman sesawang www.zakatselangor.com.my untuk bantuan RM500 yang akan diberikan secara ‘one-off’ tertakluk kepada syarat dan kelayakan.”

Untuk makluman, sejak pelaksanaan PKP 1.0 bermula 18 Mac 2020, LZS kekal komited dalam menyantuni asnaf, khususnya fakir, miskin dan mualaf.

Komitmen ini turut diperluaskan kepada golongan lain yang terjejas seperti penjaja atau peniaga kecil, pekerja yang diberhentikan atau diarahkan cuti tanpa gaji serta pekerja yang terlibat dalam pemotongan gaji bulanan.

Dua inisiatif utama agihan kebajikan telah dilaksanakan sepanjang tempoh PKP 1.0 dan PKP 2.0 melibatkan Bantuan Khas COVID-19 dan Bantuan Alternatif Insan Terkesan bagi menyantuni golongan asnaf dan mereka yang terjejas di Selangor.

LZS SERAH SUMBANGAN 20 BUAH KERUSI RODA KEPADA HOSPITAL UiTM

0

PUNCAK ALAM, 25 Jun 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan sumbangan 20 buah kerusi roda kepada Hospital UiTM sebagai usaha berterusan menyokong institusi awam utama di negara ini dalam menangani pandemik COVID-19.

Kerusi roda berkenaan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop kepada Pengarah Hospital UiTM, Profesor Dr. Sazzli Shahlan Kasim dalam satu majis yang diadakan di sini hari ini.

Menurut Saipolyazan, sumbangan tersebut merupakan antara inisiatif LZS membantu keperluan kritikal hospital-hospital pada masa ini.

“Sumbangan kerusi roda ini dilihat dapat membantu kelengkapan hospital terutamanya untuk kegunaan pesakit di pelbagai wad, lebih-lebih lagi Hospital UiTM kini telah dilantik sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega. Diharap sumbangan LZS ini dapat membantu Hospital UiTM memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.”

Sebelum itu, Hospital UiTM turut menerima sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit LZS berjumlah RM50,000.00.

Untuk makluman, Hospital UiTM adalah antara 17 buah hospital di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur yang menerima sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit LZS berjumlah RM1,770,000. Sumbangan ini adalah sebahagian usaha LZS menyantuni golongan terkesan akibat pandemik COVID-19 bagi meringankan beban mereka yang memerlukan kos pembiayaan menjalani rawatan di hospital.

Terdahulu, LZS turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi merealisasikan program Skuad Vaccine On The Go (VOTG). Tiga buah kenderaan MPV LZS diaktifkan sebagai kenderaan Skuad VOTG bagi membawa petugas-petugas kesihatan menyampaikan perkhidmatan pemberian vaksin kepada 265 buah Pusat Jagaan Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di seluruh Selangor bermula pada 8 Jun 2021.

LZS SALUR RM1.8 JUTA KEPADA 17 BUAH HOSPITAL

0

SHAH ALAM, 25 Jun 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,770,000 kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS di 17 buah hospital sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Bantuan berbentuk geran yang diperuntukkan sejak tahun 2008 lagi merupakan sebahagian usaha LZS menyantuni golongan terkesan akibat pandemik COVID-19 bagi meringankan beban mereka yang memerlukan kos pembiayaan menjalani rawatan di hospital.

Hospital yang mendapat sumbangan ini termasuklah Hospital Kuala Lumpur yang menerima sumbangan sebanyak RM300,000, diikuti dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM200,000.

Sementara itu, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Yayasan Institut Jantung Negara (IJNF) masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM150,000. Manakala Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Kajang turut menerima sumbangan sebanyak RM100,000.

Hospital Shah Alam, Hospital Putrajaya, Hospital UiTM dan Hospital Rehabilitasi, Cheras pula masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM50,000 diikuti Institut Kanser Negara sebanyak RM30,000. Hospital Banting dan Hospital Kuala Kubu Baharu menerima sebanyak RM20,000.

LZS JALIN KERJASAMA DENGAN JKNS REALISASIKAN SKUAD VOTG

0

SHAH ALAM, 8 Jun 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menyediakan pengangkutan khas, khusus bagi merealisasikan program Skuad Vaccine On The Go (VOTG).

Majlis pelancaran dan pelepasan Skuad VOTG ini disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Tiga buah kenderaan MPV LZS diaktifkan sebagai kenderaan Skuad VOTG bagi membawa petugas-petugas kesihatan menyampaikan perkhidmatan pemberian vaksin kepada 265 buah Pusat Jagaan Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di seluruh Selangor bermula pada 8 Jun 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, penggunaan kenderaan LZS ini merupakan inisiatif khidmat masyarakat LZS bagi menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Ia merupakan sumbangan LZS untuk sama-sama membantu menangani keperluan kritikal dalam usaha memberi vaksin kepada masyarakat. Lebih ramai rakyat Selangor divaksinasi dengan segera, maka lebih cepat kita dapat mencapai matlamat imuniti kelompok seterusnya dapat melawan pandemik COVID-19 ini dan kembali ke norma biasa.”

23 CAWANGAN LZS DITUTUP SEPANJANG PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN PENUH 3.0

0

SHAH ALAM, 31 Mei 2021 – Berikutan pengisytiharaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKP) 3.0 yang diumumkan oleh kerajaan dalam membendung penularan wabak COVID-19, ibu pejabat dan 23 cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan ditutup bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

Bagaimanapun, penutupan ini tidak akan menjejaskan penyaluran bantuan bulanan untuk asnaf sedia ada, dan mereka akan tetap menerima bantuan seperti biasa.

Orang ramai masih boleh berurusan dengan LZS menerusi platform dalam talian yang disediakan. Untuk pembayaran zakat, boleh dilakukan di fpx.zakatselangor.com.my atau memuat turun aplikasi mudah alih Zakat Selangor secara percuma di Google Play Store untuk versi android dan Apple App Store untuk versi iOS.

Sementara itu, permohonan bagi kes-kes kecemasan sewaktu tempoh PKP ini boleh menghubungi Penolong Amil Kariah (PAK) atau pegawai agihan dengan merujuk www.zakatselangor.com.my/koad-and-eoad.

Orang ramai juga boleh membuat semakan status bantuan dan penyata bayaran zakat boleh di ezo.zakatselangor.com.my.

Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343 atau live chat di www.zakatselangor.com.my yang beroperasi bermula 9.00 pagi hingga 4.00 petang sepanjang tempoh PKP.

APLIKASI ZAKAT SELANGOR OPTIMUMKAN DAKWAH ZAKAT

0

SHAH ALAM, 4 Mei 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini memperkenalkan aplikasi Zakat Selangor bagi mengoptimumkan penyampaian dakwah zakat di hujung jari, yang dilancarkan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di sini.

Aplikasi ini dilengkapi dengan kalkulator zakat yang memudahkan pengguna membuat pengiraan dan bayaran semua jenis zakat (harta dan fitrah) secara dalam talian serta menyemak rekod penyata bayaran.

Di samping itu, pengguna turut boleh menyemak rekod bantuan zakat, mengemas kini profil peribadi dan mendapat maklumat terkini berkaitan operasi LZS pada bila-bila masa dengan lebih mudah dan pantas.

Para pengguna boleh memuat turun aplikasi Zakat Selangor secara percuma di Google Play Store untuk versi android dan Apple App Store untuk versi iOS.

Sementara itu dalam majlis yang sama, sebanyak 24 buah syarikat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM7,653,308.83.

Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad mendahului senarai syarikat mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM2,772,913.15, diikuti Kumpulan Perangsang Selangor Berhad sebanyak RM2,500,000.00, Maybank Islamic Bank Berhad berjumlah RM453,959.58 dan CIMB Islamic Bank Berhad sebanyak RM300,000.00.

Manakala Kumpulan Semesta Sdn Bhd pula yang menyerahkan zakat sebanyak RM289,813.24, Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad berjumlah RM205,520.00 dan AIM Concept Sdn Bhd sebanyak RM140,000.00.

Dalam majlis sama, LZS turut menyampaikan bantuan zakat berjumlah RM424,007.00 kepada individu dan agensi/pertubuhan.

Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan Persatuan Penyakit Jarang Jumpa Malaysia masing-masing menerima sebanyak RM200,000.00 bagi bantuan geran sumbangan kos rawatan dan perubatan.

Manakala dua pelajar asnaf iaitu Hasbe Zuliyana Hasbe Zuzaini menerima bantuan dermasiswa pengajian tinggi berjumlah RM14,000.00 bagi menyambung pengajian di Universiti Tenaga Nasional dan Asma` Abdul Muthalib yang menerima bantuan zakat berjumlah RM10,007.00 bagi menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia.

Turut hadir Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang, Ahli Pemegang Amanah LZS, Dr. Abdul Rahman Abdullah dan Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

VIRAL IBU TUNGGAL: LZS SAHKAN DUA DARIPADANYA ADALAH ASNAF

0

SHAH ALAM, 4 Mei 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengesahkan dua daripada ibu tunggal yang mendakwa tidak menerima bantuan dari mana-mana agensi sebelum ini adalah asnaf zakat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop dalam sidang akhbar yang diadakan, ibu tunggal pertama tersebut merupakan asnaf miskin yang berdaftar dengan LZS dan masih menerima bantuan zakat sehingga kini. Beliau yang mempunyai tiga tanggungan menerima bantuan zakat termasuklah bantuan kewangan bulanan, bantuan pendidikan, bantuan hutang keperluan hidup dan bantuan hari raya.

“Keluarga ibu tunggal ini turut menerima bantuan sewa rumah di mana sewa rumah ini dibiayai oleh LZS sehingga Disember 2021. Manakala ibu tunggal kedua merupakan penerima bantuan Baitulmal MAIWP dari tahun 2012 hingga 2017. Berdasarkan rekod LZS, beliau telah menerima bantuan bagi menyelesaikan tunggakan sewa rumah pada tahun 2017 daripada LZS. Tidak ada permohonan lain yang pernah dibuat selepas itu.”

Sementara ibu tunggal ketiga bukan berstatus ibu tunggal kerana masih bersuami. Beliau baru menghantar permohonan pendaftaran sebagai asnaf fakir dan miskin, namun dokumen yang dilampirkan tidak lengkap kerana tidak menyertakan dokumen perceraian.

“LZS memandang serius dakwaan terbabit kerana LZS sentiasa memastikan golongan asnaf di Selangor disantuni sebaik mungkin dengan bantuan 2,000 penolong amil kariah seluruh Selangor.”

“Kebersamaan semua pihak amat diharapkan dan dihargai kerana semua pihak saling lengkap-melengkapi lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik Covid-19.”

Untuk makluman sehingga bulan April 2021, LZS telah menyantuni seramai 58,714 keluarga asnaf fakir dan miskin dan 5,808 orang mualaf.

Daripada jumlah tersebut, seramai 17,535 orang merupakan ibu tunggal yang mendapat manfaat zakat sepanjang tahun ini. Ibu tunggal ini merujuk kepada ibu yang membesarkan dan mendidik anaknya seorang diri tanpa kehadiran suami disebabkan perceraian, kematian atau ditinggalkan (diabaikan) oleh pasangan.

13 KELUARGA ASNAF FAKIR DAN MISKIN DAPAT RUMAH BARU LZS SEMPENA SYAWAL

0

KUALA SELANGOR, 23 April 2021 – Kedatangan Syawal tahun ini amat istimewa buat 13 keluarga asnaf fakir dan miskin di daerah Kuala Selangor apabila menerima rumah baru dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1,209,000.00 yang disampaikan dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di sini.

Setiap keluarga ini menerima rumah tiga bilik berkeluasan 800 kaki persegi, lengkap dengan kemudahan elektrik dan air ini bernilai di antara RM86,000 hingga RM90,000 sebuah di atas tanah pemberian Kerajaan Negeri Selangor.

Untuk makluman, bantuan pembinaan rumah merupakan antara bentuk bantuan yang disediakan oleh LZS bagi memenuhi keperluan asasi asnaf fakir dan miskin di Selangor, agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan berkualiti.

Keutamaan bantuan tersebut disalurkan kepada asnaf yang kediaman musnah akibat kebakaran atau bencana, usang sehingga menjejaskan keselamatan penghuni atau keluarga asnaf yang mempunyai tanggungan ramai.

Sejak tahun 2010 sebanyak 2,283 buah rumah telah diserahkan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf dengan nilai keseluruhan agihan zakat sebanyak RM99.9 juta. Selain daripada bantuan tersebut, LZS turut menyalurkan bantuan baik pulih rumah melibatkan 3,602 buah rumah sejak tahun 2010 dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM57.35 juta

Turut hadir dalam majlis ini, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Dato’ Muhamad Yaacob Dato’ Ismail, Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Norita Mohd Sidek. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

Berita Terkini