KUALA SELANGOR, 23 April 2021 – Kedatangan Syawal tahun ini amat istimewa buat 13 keluarga asnaf fakir dan miskin di daerah Kuala Selangor apabila menerima rumah baru dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1,209,000.00 yang disampaikan dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di sini.

Setiap keluarga ini menerima rumah tiga bilik berkeluasan 800 kaki persegi, lengkap dengan kemudahan elektrik dan air ini bernilai di antara RM86,000 hingga RM90,000 sebuah di atas tanah pemberian Kerajaan Negeri Selangor.

Untuk makluman, bantuan pembinaan rumah merupakan antara bentuk bantuan yang disediakan oleh LZS bagi memenuhi keperluan asasi asnaf fakir dan miskin di Selangor, agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan berkualiti.

Keutamaan bantuan tersebut disalurkan kepada asnaf yang kediaman musnah akibat kebakaran atau bencana, usang sehingga menjejaskan keselamatan penghuni atau keluarga asnaf yang mempunyai tanggungan ramai.

Sejak tahun 2010 sebanyak 2,283 buah rumah telah diserahkan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf dengan nilai keseluruhan agihan zakat sebanyak RM99.9 juta. Selain daripada bantuan tersebut, LZS turut menyalurkan bantuan baik pulih rumah melibatkan 3,602 buah rumah sejak tahun 2010 dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM57.35 juta

Turut hadir dalam majlis ini, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Dato’ Muhamad Yaacob Dato’ Ismail, Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Norita Mohd Sidek. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.