SHAH ALAM, 2 Julai 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM69.3 juta menerusi 19 inisiatif bantuan di bawah Zakat Selangor Peduli bagi menyantuni asnaf dan golongan B40 terkesan, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan akibat penularan pandemik COVID-19.

Inisiatif bantuan tersebut akan memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi yang dilaksanakan secara berperingkat sehingga Disember ini.

Empat agenda dirangka bagi menyalurkan agihan zakat secara bersasar dengan keutamaan untuk memenuhi keperluan asasi golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf, meringankan beban golongan rentan, menyokong pemulihan institusi agama di Selangor serta menyokong keperluan asas barisan hadapan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, “Melalui Zakat Selangor Peduli, LZS memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM25.7 juta untuk menyantuni kebajikan golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor. Ia meliputi bantuan asasi dan keperluan hidup serta bantuan pendidikan membabitkan seramai 36,622 penerima.”

Jumlah penerima itu termasuklah 1,000 penerima dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) serta 7,000 pelajar asnaf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal menerima bantuan komputer riba dan tablet berserta data internet bagi memudahkan pelajar mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh PKP.

Bagi peniaga asnaf dan bukan asnaf yang terjejas turut akan mendapat manfaat daripada inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli membabitkan sejumlah RM1.5 juta kepada 700 penerima.

Sementara itu, sebanyak RM30.6 juta lagi diperuntukkan membabitkan 431 institusi dan 7,000 penerima yang mendapat manfaat daripada empat inisiatif bantuan bertujuan menyokong pemulihan institusi agama di Selangor.

Manakala bantuan sebanyak RM1.0 juta pula akan disalurkan bagi menyokong keperluan asas barisan hadapan melalui sumbangan kepada hospital, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menggunakan peruntukan asnaf amil.

Tambah Saipolyazan lagi, LZS juga memperuntukkan sebanyak RM10.5 juta agihan zakat khusus untuk kelangsungan kumpulan rentan yang terkesan, terutama golongan B40 yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan membabitkan 15,000 penerima.

“Khusus golongan B40 menetap di Selangor yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan boleh memohon Bantuan Zakat Selangor Peduli bermula hari ini (2 Julai) secara dalam talian melalui laman sesawang www.zakatselangor.com.my untuk bantuan RM500 yang akan diberikan secara ‘one-off’ tertakluk kepada syarat dan kelayakan.”

Untuk makluman, sejak pelaksanaan PKP 1.0 bermula 18 Mac 2020, LZS kekal komited dalam menyantuni asnaf, khususnya fakir, miskin dan mualaf.

Komitmen ini turut diperluaskan kepada golongan lain yang terjejas seperti penjaja atau peniaga kecil, pekerja yang diberhentikan atau diarahkan cuti tanpa gaji serta pekerja yang terlibat dalam pemotongan gaji bulanan.

Dua inisiatif utama agihan kebajikan telah dilaksanakan sepanjang tempoh PKP 1.0 dan PKP 2.0 melibatkan Bantuan Khas COVID-19 dan Bantuan Alternatif Insan Terkesan bagi menyantuni golongan asnaf dan mereka yang terjejas di Selangor.