Berita Terkini LZS

ZAKAT SELANGOR DEKATKAN PERKHIDMATAN ZAKAT KEPADA KOMUNITI DI KARNIVAL AGENSI ISLAM SELANGOR 2026

SHAH ALAM, 6 Julai 2026 – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) memanfaatkan penyertaannya dalam Karnival Agensi Islam Selangor 2026 untuk mendekatkan perkhidmatan zakat kepada komuniti menerusi khidmat nasihat, taksiran dan bayaran zakat, penerangan mengenai pembangunan asnaf serta pelbagai pengisian interaktif sepanjang karnival berlangsung.
 
Antara tarikan di reruai Zakat Selangor ialah lori bergerak Zakat Selangor Sana Sini (ZASSS) yang menyediakan khidmat nasihat, taksiran dan bayaran zakat. Inisiatif ini memudahkan pengunjung mendapatkan perkhidmatan zakat secara terus dalam suasana yang lebih santai dan mesra.
 
Pengunjung turut berpeluang mengunjungi reruai pembangunan asnaf yang memaparkan pelbagai inisiatif dilaksanakan Zakat Selangor dalam memperkasa kehidupan golongan penerima zakat. Menerusi reruai ini, orang ramai dapat melihat bagaimana dana zakat dimanfaatkan melalui program pembangunan ekonomi yang membantu asnaf menjana pendapatan, berdikari dan seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan.
 
Selain reruai pameran, Zakat Selangor turut mengisi pentas utama menerusi slot Taksiran Zakat Terkini yang memberi penerangan kepada pengunjung mengenai kaedah membuat taksiran zakat yang tepat serta kepentingannya dalam menunaikan kewajipan zakat.
 
Sesi tersebut turut diserikan dengan kuiz interaktif bagi menguji pengetahuan pengunjung mengenai zakat, sekali gus menarik penyertaan mereka sepanjang karnival berlangsung.
 
Karnival Agensi Islam Selangor 2026 merupakan inisiatif anjuran Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Program ini menghimpunkan pelbagai agensi Islam negeri dan persekutuan bagi mendekatkan perkhidmatan kepada masyarakat serta memperkukuh kefahaman terhadap fungsi dan peranan institusi Islam.
 
Siri karnival bermula di Zon Satu di Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes pada 26 hingga 28 Jun 2026, diikuti Zon Dua di Masjid Puncak Alam pada 3 hingga 5 Julai 2026, manakala Zon Tiga akan berlangsung di Masjid As-Solihin, Kanchong Darat pada 10 hingga 12 Julai 2026.
 
Melalui penyertaan ini, masyarakat bukan sahaja dapat memperoleh maklumat dan perkhidmatan berkaitan zakat secara terus, malah berpeluang melihat sendiri bagaimana dana zakat dimanfaatkan untuk membantu memperkasa kehidupan golongan asnaf di Negeri Selangor.

Kongsi di media sosial

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2026 Lembaga Zakat Selangor