
PETALING JAYA, 10 Julai 2026 – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) memulakan operasi Pusat Al-Biruni Zakat Selangor di Lembah Subang 2 bagi menyediakan ruang pembelajaran yang selesa dan kondusif kepada anak-anak keluarga asnaf di kawasan berkenaan.
Pusat yang terletak di Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 itu diwujudkan bagi menyokong keperluan pendidikan anak-anak daripada keluarga asnaf, khususnya di kawasan miskin bandar. Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pembangunan akademik, pembentukan sahsiah dan pengukuhan nilai-nilai murni sebagai persediaan mereka menghadapi cabaran masa depan.
Antara pengisian yang dilaksanakan ialah Homework Club, Jom Ngaji dan Tahsin Solat yang dijalankan secara berkala bagi membantu meningkatkan pencapaian pembelajaran di samping membentuk disiplin dan keyakinan diri peserta. Pusat ini turut dilengkapi dengan ruang pembelajaran, kemudahan teknologi digital serta ruang aktiviti yang menyokong proses pembelajaran dalam suasana yang lebih kondusif.
Pemilihan PPR Lembah Subang 2 sebagai lokasi pusat ini dibuat berdasarkan keperluan komuniti setempat yang menempatkan 182 keluarga asnaf. Dengan adanya pusat ini, anak-anak di kawasan berkenaan dapat mengikuti aktiviti pembelajaran dan pembangunan diri lebih dekat dengan tempat tinggal mereka.
Pusat Al-Biruni Zakat Selangor di Lembah Subang 2 merupakan cawangan keempat yang beroperasi selepas pusat-pusat sedia ada di Desa Mentari, Petaling Jaya; Tanjong Karang, Kuala Selangor; dan Pangsapuri Enggang, Puchong.
Melalui operasi Pusat Al-Biruni ini, Zakat Selangor terus memperluaskan usaha menyediakan sokongan pendidikan kepada anak-anak keluarga asnaf agar mereka memperoleh peluang pembelajaran yang lebih baik serta membina potensi diri secara menyeluruh.






