SEPANG, 6 Mei 2026 – Zakat Selangor membuka kaunter khas zakat di Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA bagi memudahkan bakal jemaah haji menunaikan kewajipan zakat sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Kaunter yang beroperasi dari 17 April hingga 20 Mei ini menawarkan perkhidmatan semakan, khidmat nasihat dan bayaran zakat di satu lokasi yang mudah diakses oleh para jemaah. Ia dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam.
Menurut Ketua Jabatan Pemasaran dan Komunikasi, Khairul Azhan Ahmat, inisiatif itu bertujuan membantu umat Islam membuat persiapan ibadah secara lebih menyeluruh termasuk menyelesaikan kewajipan zakat sebelum menunaikan haji.
“Persiapan menunaikan haji bukan hanya melibatkan aspek perjalanan dan fizikal, tetapi juga persediaan rohani termasuk memastikan kewajipan zakat disempurnakan.
“Melalui kaunter khas ini, bakal jemaah boleh mendapatkan panduan terus daripada pegawai zakat berkaitan pengiraan serta jenis zakat yang perlu ditunaikan,” katanya.
Beliau berkata bakal jemaah disaran mengambil peluang tersebut bagi menyelesaikan kewajipan zakat masing-masing sebelum berangkat ke Tanah Suci.






