SHAH ALAM, 28 Ogos 2026 – Seramai 27 pelajar asnaf cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menerima komputer riba, biasiswa dan bantuan tunai bagi menyokong keperluan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Daripada jumlah itu, 11 penerima merupakan asnaf di bawah Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi, asasi dan institusi pengajian tinggi.
Bantuan tersebut disalurkan menerusi inisiatif bersama Zakat Selangor, Yayasan Imanul Fa’izin (YIF), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ), dengan memanfaatkan kerjasama wakalah agihan bagi memperluas sokongan pendidikan kepada pelajar asnaf berpotensi.
Ketua Jabatan Pengurusan Pendidikan, Divisyen Pembangunan Asnaf Zakat Selangor, Mohd Khairul Anuar Abdullah berkata, kerjasama berkenaan membolehkan lebih banyak sumber dan kepakaran digembleng bagi melengkapi usaha pembangunan pendidikan asnaf.
“Potensi akademik pelajar asnaf perlu terus diberi ruang untuk berkembang. Kerjasama seperti ini membolehkan lebih banyak pihak bersama-sama Zakat Selangor menyediakan sokongan yang diperlukan supaya kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk meneruskan pengajian.
“Lebih penting, pendidikan merupakan antara laluan utama dalam usaha pembangunan asnaf. Apabila seorang pelajar diberikan peluang untuk melanjutkan pengajian, manfaatnya bukan sahaja kepada individu tersebut, malah berpotensi mengubah kedudukan sosioekonomi keluarganya pada masa hadapan,” katanya.
Penglibatan yayasan, agensi dan pihak korporat menerusi agihan wakalah turut membolehkan bantuan pendidikan diperluas mengikut keperluan penerima, sekali gus melengkapi bantuan sedia ada kepada golongan asnaf.
Bagi Zakat Selangor, pendekatan kolaboratif itu bukan sekadar membantu memenuhi keperluan pendidikan semasa, malah membuka laluan kepada generasi asnaf untuk meningkatkan taraf kehidupan dan seterusnya keluar daripada kitaran kemiskinan.






