SUBANG, 8 September 2026 – Penyertaan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menunaikan zakat melalui potongan gaji menerusi Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) meningkat 64.8 peratus kepada 613 pembayar setakat Julai tahun ini, berbanding 372 pembayar pada tahun sebelumnya.
Berikutan peningkatan itu, Zakat Selangor menyasarkan kutipan zakat melalui potongan gaji warga ATM mencecah RM1 juta menjelang 2028 menerusi usaha memperluaskan penyertaan pembayar di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari berkata, perkembangan itu menunjukkan pencapaian yang baik, namun masih terdapat potensi lebih luas untuk meningkatkan jumlah pembayar zakat.
Setakat Julai 2026, kutipan zakat warga ATM berjumlah RM290,937, manakala sekitar 16.5 peratus daripada kira-kira 3,718 warga Muslim ATM membayar zakat melalui Zakat Selangor.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Anda Hero Asnaf ATM 2.0 Tahun 2026 di Dewan Ababil, Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Program itu merupakan inisiatif kerjasama strategik antara Zakat Selangor dan Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) bagi memperkasa kesedaran dan pelaksanaan zakat dalam kalangan warga ATM di Selangor.
Inisiatif yang diperkenalkan pada tahun 2025 itu memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran dan kefahaman zakat, kemudahan pembayaran secara konsisten dan automatik melalui potongan gaji serta kerjasama jangka panjang antara Zakat Selangor dan ATM bagi kelestarian kebajikan golongan asnaf.
Mohd Khaidzir berkata, sasaran RM1 juta menjelang 2028 boleh dicapai dengan meningkatkan jumlah caruman sedia ada, menggalakkan warga ATM yang bertugas di Selangor tetapi membayar zakat di luar negeri untuk menyalurkannya ke Selangor serta menarik lebih ramai anggota untuk menunaikan zakat secara konsisten.
Zakat Selangor turut menyasarkan jumlah pembayar meningkat daripada 613 kepada 1,000 orang, dengan aspirasi menjadikan ATM sebagai “Agensi Inspirasi”, iaitu agensi pertama dalam sektor awam yang mencapai 100 peratus penyertaan potongan gaji zakat dan seterusnya menjadi model kepada agensi lain.
Majlis sama turut menyaksikan penyerahan Wakalah Majikan kepada ATM berjumlah RM48,058.40 yang diagihkan kepada sembilan formasi dan pasukan ATM terpilih di Selangor bagi pelaksanaan inisiatif kebajikan dan kerohanian anggota.
Turut hadir Ketua Pengarah Kerohanian Islam Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Dato’ Hj Mohd Rashidi Bujai; barisan kepimpinan kanan ATM serta Ketua Divisyen Kutipan Zakat Selangor, Muhd Fikri Naim Harun.






