SHAH ALAM, 16 Oktober 2026 – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) mengambil maklum pandangan yang dibangkitkan berhubung pemilihan farmasi bagi pembekalan ubat-ubatan dan keperluan perubatan kepada asnaf di Selangor.
Zakat Selangor menegaskan bahawa farmasi milik Muslim tetap diberikan keutamaan, selaras dengan komitmen memperkasa ekonomi ummah.
Pada masa sama, pemilihan farmasi dan pembekal turut mengambil kira keperluan pesakit, ketersediaan bekalan, lokasi dan kesinambungan rawatan bagi memastikan kebajikan asnaf sentiasa terpelihara.
Bagi tempoh Januari hingga September 2026, daripada keseluruhan RM45.4 juta kelulusan bantuan perubatan, sebanyak RM31.8 juta atau 70% merupakan farmasi dan pembekal milik penuh Muslim. Sebanyak RM4.4 juta (10%) melibatkan pemilikan bersama Muslim dan bukan Muslim, manakala RM9.2 juta (20%) melibatkan pembekal milik penuh bukan Muslim.
Zakat Selangor turut mengambil kira kepentingan akses kepada ubat-ubatan, khususnya bagi pesakit uzur dan mereka yang memerlukan rawatan berterusan.
Sebarang pertimbangan terhadap farmasi dan pembekal lain dibuat berdasarkan keperluan serta kepentingan pesakit asnaf, tanpa menjejaskan prinsip keutamaan kepada farmasi milik Muslim.
Pengurusan bantuan perubatan dilaksanakan berpandukan ketetapan dan pemantauan pihak berkuasa agama yang berkaitan, di samping kerjasama dengan Persatuan Farmasi Muslim Selangor (PERFORMS).
Zakat Selangor kekal komited memastikan pengurusan dana zakat dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berlandaskan syariah, dengan keutamaan kepada farmasi milik Muslim serta kebajikan dan hak pesakit asnaf terus dipelihara.






