SHAH ALAM, 3 September 2026 – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menyasarkan RM234 juta kutipan zakat perniagaan tahun ini, daripada sasaran keseluruhan kutipan dan agihan zakat sebanyak RM1.37 bilion bagi 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari berkata, potensi kutipan zakat perniagaan di Selangor masih besar, mengambil kira kegiatan ekonomi dan perniagaan yang pesat di negeri ini.
“Apa yang lebih penting bukan sekadar mencapai angka tersebut. Matlamat yang lebih besar adalah untuk memastikan lebih banyak syarikat dan usahawan memahami peranan mereka dalam berzakat dan seterusnya tampil menunaikan kewajipan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Hi-Tea Bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor di sini hari ini, yang menyaksikan 44 syarikat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM11.48 juta kepada Zakat Selangor.
Dalam ucapannya, Mohd Khaidzir menyeru syarikat, usahawan dan peniaga supaya menunaikan zakat di negeri tempat perniagaan dijalankan, khususnya mereka yang menjalankan perniagaan di Selangor.
“Apabila sesebuah perniagaan beroperasi, berkembang dan menjana hasil dalam sesebuah negeri, perniagaan tersebut turut mendapat manfaat daripada kitaran ekosistem yang wujud, daripada tenaga kerja dan pelanggan sehinggalah kepada kemudahan, pembangunan serta komuniti yang menyokong pertumbuhan perniagaan.
“Sebahagian daripada manfaat ekonomi yang dijana dapat dikembalikan semula kepada masyarakat setempat khususnya kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan,” katanya.
Majlis yang menghimpunkan kira-kira 200 pengeluar zakat daripada pelbagai latar belakang, khususnya golongan usahawan muda, diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.
Majlis Hi-Tea berkenaan merupakan kerjasama kali kedua antara Zakat Selangor dan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dalam mendekati pengeluar zakat, khususnya sektor korporat dan usahawan. Kerjasama itu turut menyokong usaha YRMS dalam pembangunan potensi belia, pendidikan dan keusahawanan dalam kalangan B40 serta asnaf, selaras dengan aspirasi DYTM Raja Muda Selangor.
Pada majlis sama, YRMS turut menerima dana wakalah berjumlah RM400,000 iaitu masing-masing RM300,000 daripada Worldwide Holdings Berhad dan RM100,000 daripada Tenaga Nasional Berhad bagi menyokong program kebajikan, pendidikan dan pembangunan belia yang diusahakan yayasan itu.
Wakalah membolehkan syarikat atau individu yang menunaikan zakat menerima semula sebahagian tertentu daripada zakat untuk disalurkan sendiri kepada asnaf di bawah pemantauan Zakat Selangor, tertakluk kepada hukum syarak.
Majlis turut menyaksikan lima syarikat penerima Inisiatif Pengiktirafan Muzakki Zakat Selangor (IKTIRAF) iaitu D’Herbs Holdings Sdn Bhd, Bawal Sdn Bhd, Eskayvie Sdn. Bhd., Wawa Global Sdn Bhd dan V’Asia Health & Beauty menyerahkan produk masing-masing kepada DYTM Raja Muda Selangor sebagai simbolik syarikat yang menerima pengiktirafan berkenaan.
IKTIRAF merupakan inisiatif Zakat Selangor yang mengiktiraf syarikat dan organisasi atas komitmen berterusan terhadap kesejahteraan serta pembangunan sosioekonomi ummah melalui pembayaran zakat perniagaan secara konsisten. Inisiatif itu turut menggalakkan lebih banyak syarikat menjadikan zakat sebagai sebahagian daripada budaya korporat yang bertanggungjawab, selain memberi nilai tambah kepada reputasi dan keyakinan terhadap organisasi.
Turut hadir Pengerusi Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail; Pengerusi YRMS, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda; Timbalan Pengerusi Zakat Selangor, Tan Sri Dato’ Setia Haji Ambrin Buang; Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Sahibus Samahah Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Haji Opir; serta barisan Pemegang Amanah YRMS.






