KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2026 – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) terus memperkukuh usaha membangunkan ekonomi asnaf menerusi kerjasama strategik bersama Alliance Islamic Bank (AIS) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) melalui Program Pembiayaan Mikro Zakat (AZAM).
Program pembiayaan mikro berasaskan dana zakat wakalah itu dilancarkan dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli di sini hari ini.
Majlis turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari; Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim dan Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Noor Aeiza Hassan.
Menerusi program itu, Zakat Selangor berperanan mengenal pasti dan menentukan kelayakan usahawan asnaf untuk menyertai AZAM, yang menyediakan pembiayaan mikro tanpa caj berasaskan konsep Qard serta latihan dan bimbingan bagi membantu peserta membina dan mengembangkan perniagaan.
Mohd Khaidzir berkata, kerjasama strategik tersebut memperkukuh ekosistem zakat dengan menghubungkan kutipan kepada agihan yang memberi impak nyata, khususnya dalam memperkasa usahawan asnaf.
“Asnaf yang dikenal pasti mempunyai bakat dalam perniagaan diberikan bantuan modal pusingan untuk merealisasikan impian mereka dan menjalankan pelan pembangunan perniagaan.
“Bagi Zakat Selangor, konsep ini bukan sekadar memenuhi keperluan semasa, tetapi membina keupayaan asnaf untuk lebih berdikari, mempunyai kuasa beli serta meningkatkan daya tahan dan masa depan mereka,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada 2023, seramai 209 usahawan asnaf telah menerima pembiayaan menerusi AZAM.
Keberkesanan program turut dinilai menerusi kajian Social Return on Investment (SROI) oleh Social Value Malaysia yang mendapati 56 peratus peserta melaporkan perniagaan mereka lebih stabil, manakala 71 peratus mencatat peningkatan keyakinan diri.
Pada majlis sama, sesi bual bicara bersama Social Value Malaysia dan peserta AZAM turut diadakan bagi berkongsi pengalaman serta impak program kepada usahawan asnaf.
Melalui pendekatan dana pusingan, bayaran balik pembiayaan oleh peserta akan disalurkan semula kepada penerima baharu, sekali gus membolehkan manfaat dana zakat diperluaskan kepada lebih ramai usahawan asnaf.






