Berita Terkini LZS

ZAKAT SELANGOR BANGUNKAN PROJEK AGROEKONOMI 110 EKAR BANTU ASNAF JANA PENDAPATAN

BUKIT BERUNTUNG, 1 Julai – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) membangunkan Projek Agroekonomi Laman Agro Ehsan di atas kawasan seluas 110 ekar, dengan 76 ekar daripadanya dibangunkan sebagai kawasan agro yang menempatkan 48 plot tanaman cili fertigasi diusahakan oleh asnaf Zakat Selangor.

Majlis Perasmian Program Agroekonomi Laman Agro Ehsan itu disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah di Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

Berbeza dengan bantuan yang memberi tumpuan kepada keperluan jangka pendek, pendekatan yang dibangunkan Zakat Selangor memberi fokus kepada pembinaan keupayaan supaya asnaf mempunyai ilmu, kemahiran dan peluang menjana pendapatan sendiri.

Agroekonomi dipilih kerana sektor ini mampu menyediakan sumber pendapatan yang lebih mampan melalui latihan, bimbingan dan akses kepada pasaran.

Peserta dipilih melalui proses saringan dan temu duga yang dilaksanakan bersama Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL) bagi mengenal pasti calon yang mempunyai minat, kesesuaian dan komitmen untuk mengikuti program itu.

Seterusnya, seramai 48 asnaf telah disenarai pendek bagi mengikuti program pembangunan selama tiga tahun dan berpotensi memperoleh pendapatan sehingga RM4,000 sebulan menerusi pengusahaan tanaman cili fertigasi.

Setiap peserta mengusahakan satu plot tanaman seluas 0.5 ekar yang menempatkan 2,000 beg tanaman cili, selain menerima latihan teknikal, bimbingan dan pemantauan sepanjang tempoh program.

Peserta turut ditempatkan di kawasan perumahan Prima Beruntung dengan kos sewaan dibiayai oleh Zakat Selangor sepanjang tempoh program.

Di samping itu, Zakat Selangor melaksanakan pendekatan perladangan kontrak (contract farming) bagi memastikan hasil tanaman peserta mempunyai akses kepada pasaran melalui rangkaian pembeli daripada sektor peruncitan, agensi pemasaran pertanian dan pertubuhan peladang.

Pelaksanaan Projek Agroekonomi Laman Agro Ehsan turut disokong melalui dana wakalah berjumlah kira-kira RM2.07 juta daripada Lembaga Tabung Haji, RHB Islamic Bank Berhad dan Cagamas Berhad.

Ahli Jawatankuasa Penasihat Laman Agro Lembaga Zakat Selangor, Dato’ Adnan Pawanteh dalam ucapannya berkata, Projek Agroekonomi Laman Agro Ehsan dibangunkan berasaskan pendekatan yang memberi tumpuan kepada pembangunan jangka panjang asnaf.

“Kemiskinan bukan semata-mata soal kekurangan bantuan, tetapi soal akses kepada peluang yang mampu mengubah kehidupan secara berkekalan.”

Beliau berkata, pendekatan itu memberi peluang kepada asnaf membina kehidupan yang lebih baik melalui hasil usaha sendiri.

“Daripada sekadar memberi bantuan, kepada membina kemampuan. Daripada bergantung, kepada berdikari. Daripada menerima, kepada akhirnya mampu menyumbang kembali.”

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Datuk Dr. Mohammad Fahmi Ngah; Pengerusi Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail; serta Timbalan Pengerusi Zakat Selangor, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang.

Kongsi di media sosial

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2026 Lembaga Zakat Selangor