Berita Terkini LZS

AGIHAN ZAKAT SELANGOR 2025 CECAH RM1.33 BILION, LEBIH 75,000 KELUARGA FAKIR DAN MISKIN DISANTUNI

SHAH ALAM, 5 Mei 2026 – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) merekodkan agihan zakat yang telah disahkan berjumlah RM1.33 bilion bagi tahun 2025, dengan tumpuan utama kepada golongan fakir dan miskin sebagai penerima terbesar bantuan di negeri ini.

Prestasi tersebut turut disokong oleh kutipan zakat sebanyak RM1.31 bilion, sekali gus membolehkan pelbagai bentuk bantuan disalurkan secara berterusan kepada golongan yang memerlukan.

Daripada jumlah keseluruhan agihan tersebut, lebih 60 peratus agihan zakat khusus kepada golongan fakir dan miskin, melibatkan lebih 75,000 keluarga disantuni di seluruh Selangor melalui pelbagai bentuk bantuan dan intervensi berstruktur.

Dalam masa sama, seramai lebih 14,000 keluarga fakir dan miskin dikenal pasti sebagai asnaf baharu pada tahun 2025. Penentuan status asnaf ini dibuat berdasarkan pengiraan had kifayah, iaitu garis kecukupan minimum yang mengambil kira keperluan asas isi rumah seperti makanan, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan serta kos sara hidup semasa.

Peningkatan bilangan asnaf baharu ini turut dipengaruhi oleh usaha berterusan Zakat Selangor dalam memperkukuh proses penilaian, pengesanan serta peluasan capaian bantuan kepada keluarga yang layak namun sebelum ini belum dikenal pasti.

Pada masa sama, lebih 2,800 keluarga fakir dan miskin berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan hasil intervensi berterusan yang dilaksanakan, membuktikan keberkesanan pendekatan agihan yang bukan sahaja bersifat kebajikan, tetapi turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan jangka panjang.

Daerah Petaling merekodkan bilangan tertinggi keluarga fakir dan miskin dengan hampir 13,600 keluarga, diikuti Klang dengan lebih 12,600 keluarga serta Hulu Langat sekitar 11,700 keluarga, mencerminkan tumpuan cabaran kemiskinan di kawasan berpenduduk padat.

Situasi ini mencerminkan cabaran sosioekonomi bandar yang memerlukan pendekatan intervensi yang lebih menyeluruh dan tertumpu, sejajar dengan usaha berterusan Zakat Selangor dalam memperkukuh sokongan kepada golongan yang memerlukan.

Sehubungan itu, agihan zakat akan terus difokuskan kepada bantuan asas seperti kewangan bulanan, makanan, perumahan serta sokongan pendidikan, di samping diperkukuh melalui inisiatif pembangunan termasuk latihan kemahiran dan program peningkatan pendapatan bagi membantu golongan fakir dan miskin keluar daripada kitaran kemiskinan secara berperingkat.

Zakat Selangor komited melaksanakan amanah kutipan dan agihan zakat secara bertanggungjawab, telus dan berintegriti selaras dengan tuntutan syariat Islam, di samping terus menyokong agenda Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani kemiskinan serta memperkukuh pembangunan asnaf ke arah perubahan hidup yang lebih mampan.

Kongsi di media sosial

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2026 Lembaga Zakat Selangor