Berita Terkini LZS

ZAKAT SELANGOR TERBIT LAPORAN BERSEPADU 2025

SHAH ALAM, 15 Mei 2026 – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menerbitkan Laporan Bersepadu 2025, sekali gus menjadi antara institusi zakat terawal di Malaysia yang menggabungkan prestasi kewangan, pembangunan serta aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam satu pelaporan menyeluruh.
 
Laporan yang boleh diakses secara terbuka oleh orang ramai itu bukan sahaja memaparkan prestasi kutipan dan agihan zakat, malah turut memberi gambaran lebih luas tentang bagaimana dana zakat diurus, dipantau dan diterjemahkan kepada pembangunan komuniti.
Menerusi laporan berkenaan, Zakat Selangor merekodkan kutipan zakat berjumlah RM1.31 bilion pada 2025 yang disokong lebih 409,000 pembayar zakat, manakala agihan sebanyak RM1.33 bilion disalurkan kepada lebih 426,000 penerima di seluruh Selangor.
Antara pencapaian utama yang diketengahkan ialah lebih 2,800 keluarga asnaf berjaya keluar daripada kategori miskin berdasarkan penilaian Had Kifayah hasil pelbagai intervensi pembangunan dan peningkatan ekonomi yang dilaksanakan pada tahun 2025.
Selain bantuan asas, laporan itu turut memperincikan pelbagai usaha pembangunan jangka panjang termasuk pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan usahawan, peluang pekerjaan serta program peningkatan pendapatan bagi membantu golongan asnaf membina kehidupan lebih stabil dan berdikari.
Dalam masa sama, laporan berkenaan turut memuatkan pelbagai aspek pengurusan institusi meliputi tadbir urus, audit, pemantauan agihan, pengukuran impak bantuan, pendigitalan perkhidmatan serta pembangunan komuniti.
Pendekatan itu juga dilihat sebagai sebahagian usaha memperkukuh institusi zakat melalui standard pelaporan yang lebih terbuka dan menyeluruh kepada masyarakat. Orang ramai boleh meneliti keseluruhan laporan termasuk prestasi, impak bantuan, tadbir urus dan inisiatif ESG menerusi www.zakatselangor.com.my/laporan-lzs/.
 

Kongsi di media sosial

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2026 Lembaga Zakat Selangor