SHAH ALAM, 7 Julai 2026 – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) hari ini melancarkan Inisiatif Pengiktirafan Muzakki Zakat Selangor (IKTIRAF) bagi mengiktiraf syarikat dan organisasi yang bukan sahaja konsisten menunaikan zakat perniagaan, malah menzahirkan keprihatinan dan komitmen terhadap kesejahteraan serta pembangunan asnaf di Selangor. IKTIRAF diperkenalkan bagi menggalakkan lebih banyak syarikat menjadikan zakat sebagai sebahagian daripada budaya korporat yang bertanggungjawab.
IKTIRAF diberikan kepada syarikat dan organisasi yang memenuhi kriteria kelayakan berdasarkan rekod pembayaran zakat perniagaan kepada Zakat Selangor. Penerima akan menerima e-Sijil dan e-Label IKTIRAF sebagai sebagai simbol pengiktirafan rasmi atas komitmen mereka dalam menunaikan zakat perniagaan.
Bagi menyokong inisiatif ini, Zakat Selangor turut memperkenalkan Portal IKTIRAF yang berfungsi sebagai direktori rasmi syarikat dan organisasi penerima IKTIRAF. Orang ramai boleh mengesahkan status penerima dengan mengimbas kod QR pada e-Sijil atau e-Label, di samping mendapatkan maklumat mengenai syarikat, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan melalui portal tersebut.
Pendekatan ini menjadikan IKTIRAF sebagai inisiatif pertama dalam industri zakat di Malaysia yang mengintegrasikan e-Sijil, e-Label, kod QR dan Portal IKTIRAF dalam satu ekosistem pengiktirafan, sekali gus membolehkan orang ramai mengesahkan status penerima IKTIRAF secara terus.
Selain menjadi simbol pengiktirafan rasmi, e-Label yang dipaparkan pada produk dan bahan promosi serta e-Sijil yang dipamerkan di premis perniagaan memberi nilai tambah kepada syarikat. Ia membolehkan orang ramai mengenal pasti syarikat yang menyokong agenda kesejahteraan dan pembangunan asnaf di Selangor melalui zakat. Pengiktirafan ini turut memperkukuh reputasi, meningkatkan keyakinan terhadap jenama dan memperkukuh kedudukan syarikat di mata pelanggan serta masyarakat.
Inisiatif Pengiktirafan Muzakki Zakat Selangor (IKTIRAF) dilancarkan bersempena Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor (GRASIAZ) 2026 oleh Pengerusi Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.
Sempena pelancarannya, Zakat Selangor turut menyampaikan Plak IKTIRAF kepada syarikat dan organisasi yang layak di bawah kategori Zakat Perniagaan dan Skim Potongan Gaji (SPG) sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam memperkukuh ekosistem zakat di Selangor.
GRASIAZ merupakan platform tahunan Zakat Selangor yang menghimpunkan majikan, ejen kutipan, pembayar zakat korporat dan rakan strategik bagi menghargai sumbangan mereka dalam memperkukuh ekosistem zakat di negeri Selangor.
Majlis tersebut menyaksikan penyampaian Anugerah Majikan, Anugerah Ejen dan Anugerah Rakan Strategik Zakat Terbaik kepada organisasi yang mencatat prestasi cemerlang sepanjang tahun 2025. Turut disampaikan Anugerah Utama Umar Abdul Aziz dan Anugerah Utama Muaz Bin Jabal, iaitu pengiktirafan tertinggi kepada majikan dan ejen atas sumbangan mereka dalam memperkukuh budaya berzakat di negeri Selangor.
Hadir sama dalam majlis ini Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari






