SHAH ALAM, 20 April 2026 – Penyelidikan berkaitan prestasi sosial organisasi, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan Islam serta kesihatan pekerjaan menjadi antara fokus utama dalam Program Kolokium Akademik Pasca Ijazah Sultan Idris Shah Zakat Selangor 2026 yang berlangsung di Hotel Concorde di sini.
Program anjuran Zakat Selangor itu bertujuan memantau perkembangan akademik penerima tajaan pasca ijazah selain menjadi platform perkongsian dapatan kajian yang berpotensi memberi manfaat kepada pengurusan organisasi serta perkhidmatan sosial.
Kolokium tersebut menghimpunkan seramai 30 peserta terdiri daripada Jawatankuasa Dermasiswa Zakat Pasca Ijazah Sultan Idris Shah (DPZSIS), alumni serta pelajar peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Antara sorotan utama program ialah pembentangan oleh Pengarah Kanan Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Hajah Norraini Nordin bertajuk Internal Factors Influencing The Social Performance Of Non-Profit Organisations In Malaysia yang memberi fokus kepada kepentingan budaya organisasi dan akauntabiliti dalam meningkatkan impak sosial organisasi bukan berasaskan keuntungan (NGO) di Malaysia.
Selain itu, Pengurus Teknologi Maklumat MAIS, Nor Faizal Paiman turut membentangkan tajuk AI Adoption Model For Islamic Public Services yang mengetengahkan potensi penggunaan teknologi AI dalam memperkemas perkhidmatan Islam melalui automasi pentadbiran yang lebih cekap serta patuh syariah.
Sementara itu, Eksekutif Kanan Keselamatan dan Kesihatan Zakat Selangor, Mohd Hafizul Rahmat pula membentangkan tajuk Prevalens dan Hubung Kait Antara Beban Kerja Mental dengan Ketidakselesaan Muskuloskeletal dalam Kalangan Pekerja Pejabat di Organisasi Perkhidmatan Sosial Selangor.
Kolokium berkenaan turut menjadi platform memperkukuh budaya penyelidikan, meningkatkan kompetensi komunikasi penyelidik serta menyokong pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan strategik agensi di bawah MAIS.






